Oleh: Abdullah Zaid
Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang tidak menyebelahi Kerajaan Perpaduan perlu diterima dengan hati terbuka.
Bagaimanapun, menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf, beberapa perkara perlu dijadikan pengajaran oleh KEADILAN dan Pakatan Harapan berhubung kekalahan itu.
Terutama, katanya, pengundi muda yang amat sedikit memberi undi kepada calon PH dan memerlukan pendekatan baharu bagi menarik perhatian golongan tersebut.
"Kita perlu akui kegagalan santuni anak muda dalam PRK Sungai Bakap perlu dijadikan pengajaran kepada kita agar tidak mengulangi semula kesilapan sama.
"Oleh sebab itu, strategi program dan penerangan anak muda perlu diubah kerana faktor lokaliti yang berbeza-beza mengikut kawasan. Kita perlukan pendekatan lain dan tidak boleh bergantung kepada satu cara sahaja," katanya kepada Suara Keadilan.
Ketika ditanya mengenai naratif pembangkang yang banyak memainkan isu perkauman dan agama dalam kempen PRK tersebut, Abshar berkata, tanggungjawab Kerajaan Perpaduan selepas ini adalah memberi penjelasan dan pendidikan yang berkesan kepada anak muda Melayu.
"Apa yang saya ingin tekankan kita tidak boleh menyalahkan pengundi, sebaliknya cari titik persamaan antara anak muda yang suatu ketika dahulu bersama dengan perjuangan dan agenda kita (namun sekarang menentang).
"Anak muda ini jiwa mereka sentiasa bersemangat, jadi tugas kita mencari titik itu supaya semangat anak dapat digunakan untuk membina negara yang lebih baik. Saya yakin tidak ada seorang pun pengundi yang mahu melihat negara ini hancur dan binasa. Justeru carilah ruang itu dalam pendidikan dan penerangan yang lebih berkesan," ujarnya.
Keputusan PRK Sungai Bakap menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin tewas kepada PN dengan majoriti 4,267 undi.
Berdasarkan keputusan sembilan pusat mengundi, PN memenangi kesemua saluran pengundi muda, manakala saluran 1 menyaksikan calon Perpaduan memenangi lima daripada sembilan saluran.
Comments