Oleh: Azuan Ab Rahman
Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan Pas tidak layak dijadikan contoh atau role model kepada sebuah perjuangan Islam.
Ahli Dewan Negara itu menerusi satu hantaran di Facebooknya mendakwa, Pas merupakan parti politik yang tidak dipandu nilai dan prinsip telah menggunakan retorik Islam untuk meraih undi orang ramai.
"Pas yang mendakwa dirinya sebagai ‘parti Islam’ hanyalah bersandiwara politik kerana hakikatnya ia adalah parti politik yang mengamalkan ‘politik Machiavelli’ (matlamat menghalalkan cara) yang kononnya ditentang selama ini.
"Ini adalah satu lagi projek pembohongan Pas terbesar kepada orang ramai dan khususnya kepada penyokongnya yang melihat kononnya Pas adalah parti Islam yang sebenarnya.
"Pas hanya menggunakan prinsip hukum mengikut seleranya dan tidak menjadikannya sebagai panduan," kata beliau.
Menerusi hantaran tersebut Mujahid turut menyifatkan Pas berdepan kecelaruan identiti sehingga tindakannya telah menelanjangkan wajah sebenarnya yang selama ini disembunyikan dengan topeng berlabelkan Islam.
"Sememangnya retorik Pas adalah kosong kerana sebelum ini Ahli-Ahli Parlimennya yang didapati bersalah memfitnah di mahkamah dibela dengan arahan rasmi supaya ahli berinfaq fi sabilillah untuk membayar denda kesalahan yang tinggi.
"Pas rela mengadai maruah demi mendapat markah politik dengan cara memburukkan Kerajaan Perpaduan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," tegasnya.
Dalam pada itu, Dr Mujahid mempersoalkan tindakan Pas yang mengerahkan ahli-ahlinya menghadiri himpunan solidariti buat bekas Perdana Menteri, Najib Razak sedangkan UMNO sendiri mengarahkan dibatalkan perhimpunan tersebut demi menghormati titah arahan Yang di-Pertuan Agong dan sekaligus menjaga ketenteraman awam
"UMNO dan mereka yang bersimpati dengan Najib lebih mengetahui bahawa Pas tidak ada kena mengena dengan logik pembelaan Najib.
"Pas sanggup mencetuskan polemik politik untuk dijadikan bahan membelasah Kerajaan Perpaduan dan rela dirinya menjadi ‘batu api’ memporak-perandakan kestabilan yang dinikmati hari ini
"Pas hanya menunggang isu adendum Najib untuk kepentingan politik peribadinya," tambahnya.
Comments