Oleh: Akmal Manaf
Parti pembangkang Pas menjadi sasaran kritikan apabila mengeluarkan kenyataan berhubung Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal bagi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menempelak Pas yang dilihat umpama tidak faham dengan maksud perkataan ‘tidak rasmi’ dan ‘hanya untuk ASEAN’.
"Perkataan ‘tidak rasmi’ dan ‘hanya untuk ASEAN’ pun tak faham. Apabila tidak rasmi, sudah tentu tidak melibatkan implikasi kewangan. Apabila melibatkan Asean saja maksudnya Thaksin tidak akan masuk campur urusan dalaman Malaysia.
"Bagaimana Pas hendak ulas perkara yang jauh lebih besar dan kritikal sedangkan perkara mudah seperti ini pun tidak faham?," bidas beliau menerusi satu kenyataan.
Dalam hal berkenaan, katanya, Pas patut melihat daripada sudut yang positif kerana Anwar tidak melantik Thaksin seorang sahaja sebagai penasihat peribadi tidak rasmi.
Malah, ujarnya lebih ramai lagi tokoh, negarawan dan pemimpin ASEAN lain dijangka akan dilantik untuk tujuan membantu Pengerusi ASEAN.
"Pas tak nampak yang Perdana Menteri sedang ambil satu langkah kedepan memanfaatkan pengalaman tokoh-tokoh dari negara-negara Asia Tenggara untuk menguatkan lagi peranan ASEAN di mata dunia.
"Bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Tindakan bijak Perdana Menteri akan dapat membina muafakat demi menjamin keamanan dan keharmonian rantau Asia Tenggara.
"Bahkan langkah seperti itu pasti akan dapat penghormatan daripada pemimpin asia dan dunia," katanya lagi.
Menurut Jimmy, pada hemat Anwar, Thaksin merupakan bekas Perdana Menteri Thailand yang mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran sebuah negara dan hubungan diplomatik khususnya hubungan Malaysia-Thailand.
Katanya, kepakaran itu boleh dimanfaatkan di meja rundingan bagi menyelesaikan konflik di Myanmar.
"Kerajaan MADANI atau Perdana Menteri bukanlah tidak boleh dikritik langsung, tetapi biarlah kritikan itu yang membina dan boleh membantu negara.
"Tapi tak pelik apabila Pas bertindak membuat ulasan picisan sebegini kerana umum mengetahui parti ini cuma ‘pakar’ dalam mengulas isu-isu yang melibatkan kaum dan agama saja.
"Cuba bayangkan sejak menjadi pembangkang pada 2022, tidak ada satu pun belanjawan alternatif yang dibentangkan Pas-PN kepada rakyat. Jadi faham-faham sajalah," katanya secara sinis.
Comentarios