Oleh: Azuan Ab Rahman
Pas didakwa bermain wayang dan bersandiwara dalam isu berkaitan titah adendum bagi memburukkan imej Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, disebalik semua sandiwara itu Pas terus gagal mencapai cita-cita politik murahan mereka untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pas jangan cuba mengelirukan rakyat dengan membuat desakan seolah-olah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersalah dalam kes Datuk Seri Najib Razak.
"Kalau disemak semula, kes penangkapan Datuk Seri Najib Razak berlangsung ketika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan waktu itu.
"Timbul pula persoalan mengapa tidak ada agenda Pas untuk memberi cadangan pengampunan diraja terhadap Najib ketika itu, mengapa ia dihebohkan ketika ini," katanya dalam kenyataan.
Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu mengesahkan kewujudan Titah Adendum bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah.
Pas menggunakan isu tersebut dengan mendakwa terdapat unsur penyembunyian maklumat penting dan mendesak Anwar segera melepaskan jawatan kerana didakwa hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara.
Sebagai rekod, pembangkang tidak pernah membuktikan dakwaan kerajaan telah menyembunyikan titah adendum seperti didakwa mereka.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan pada Jumaat menegaskan, pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara itu dan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi mereka.
Sementara itu Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, seharusnya Pas atau Perikatan Nasional (PN) mendesak Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melepaskan jawatan kerana mengambil berat serta tidak bersungguh dalam mendapatkan pengampunan diraja dalam kes Najib itu.
"Desakan Pas supaya Anwar meletak jawatan baru-baru ini adalah tidak munasabah.
"Tidak ada keperluan untuk Anwar meletakkan jawatan, dan gesaan Pas itu adalah hasil daripada desakan mereka yang hanya mahu mencari silap," katanya lagi.
コメント