Oleh: Abdullah Zaid
Pas sebagai parti Islam seharusnya menyokong setiap siasatan yang dilakukan oleh pihak polis atau pihak berkuasa lain ke atas GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Izuan Kasim kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam yang menyatakan sisi positif GISBH berhubung 'jaringan perniagaannya yang luas perlu dipelihara dan dilindungi daripada tindakan terburu-buru dan tidak adil' begitu mengelirukan dan tidak wajar.
Pendirian itu, kata Izuan tidak sepatutnya diketengahkan kerana dimaklumi berdasarkan laporan media terdapat dakwaan salah laku dari segi pembayaran gaji dan sebagainya dalam jaringan perniagaan syarikat terbabit.
Ahli Dewan Negeri Kota Damansara itu turut tertanya tanya adakah Pas menganggap isu pembayaran gaji tidak setimpal itu perkara yang perlu 'dipelihara atau dilindungi'.
"Kanak-kanak dan orang dewasa merupakan manusia seharusnya di layan dengan adil (dalam pekerjaan). Beri upah kepada mereka yang bekerja setelah menggunakan keringat peluh mereka.
"Kalau dilihat balik, modus operandi ini hampir sama (juga berlaku dalam Pas) seperti guru tadika Pas yang dibayar bawah paras minimum, malah ada yang tiada Socso (caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial)," katanya.
Sebelum ini, banyak persatuan berkaitan Melayu-Islam telah membela GISBH kerana mendakwa kerajaan sengaja ingin memusnahkan jaringan perniagaan Melayu dengan bertindak ke atas kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, pendedahan terbaharu mendapati kumpulan dakwah itu menjalankan perniagaan sebagaimana model ekonomi al Arqam 40 tahun lalu yang tidak membayar upah pekerja setimpal tetapi mampu mencipta rangkaian perniagaan secara eksploitasi pekerja.
Untuk rekod, GISBH turut dikaitkan dengan penderaan, eksploitasi terhadap kanak-kanak, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat di beberapa rumah amal dan sekolah agama kendalian badan dakwah itu.
Comments