Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Parti Islam Se-Malaysia (Pas) menutup tirai tahun 2024 dengan pengulangan tohmahan terhadap pentadbiran Kerajaan Madani Selangor. Ulangan tohmahan tersebut telah dilakukan melalui kenyataan oleh Setiausaha Dewan Pemuda Pas Negeri, Ustaz Dr Aubidullah Fahim Ibrahim yang melemparkan beberapa ulangan dakwaan tidak berasas dan menyimpulkan bahawa Kerajaan Madani Selangor sepanjang tahun 2024 gagal mengurus keperluan rakyat dengan berkesan.
Kesemua ulangan tohmahan ini telah dijawab oleh Kerajaan Madani Selangor sebelum ini, namun tohmahan tersebut tetap diulang dengan tujuan mengelirukan rakyat Selangor dan meremehkan usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor.
Kelewatan projek mitigasi banjir
Pengulangan tohmahan tersebut termasuklah tuduhan kegagalan Kerajaan menyelesaikan isu banjir kilat yang melibatkan kelewatan projek mitigasi banjir. Isu ini telah dijawab oleh Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad bahawa punca sebenar masalah banjir yang berlaku di Selangor adalah kerana kegagalan menyelesaikan projek tebatan banjir yang dianugerahkan mantan Menteri Alam Sekitar dan Air iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 2020 kepada kontraktor pilihan kementerian tersebut.
Projek tebatan banjir itu hanya mampu diselesaikan sebanyak 70% oleh pihak kontraktor, projek sepatutnya selesai sekitar Mac 2024. Kontraktor berkenaan gagal mengikut jadual yang telah dipersetujui, justeru tidak adil menyalahkan pentadbiran Kerajaan Madani Selangor atas kegagalan pentadbiran Kerajaan Persekutuan terdahulu yang dipimpin oleh menteri dari Pas.
Kelembapan ekonomi
Pengulangan tohmahan seterusnya oleh Pas Selangor melibatkan tuduhan kelembapan ekonomi negeri, terutamanya dalam sektor perindustrian dan teknologi tinggi. Tohmahan ini jauh dari data dan realiti sebenar apabila Kerajaan Negeri Selangor menutup tirai 2024 dengan pencapaian luar biasa selepas mencatat kutipan hasil akhir sebanyak RM 2.858 bilion.
Kutipan hasil tersebut direkodkan sebagai tertinggi dalam sejarah Selangor dan angka itu juga melepasi sasaran RM 2.2 bilion ditetapkan pada tahun 2023. Berdasarkan angka dan data yang telah dibentangkan ini bagaimana Pas Selangor dapat menyimpulkan bahawa Kerajaan Madani Selangor lemah dalam menguruskan ekonomi sedangkan rekod pengurusan ekonomi terbaik telah tercipta di bawah pentadbiran kerajaan semasa.
Tohmahan turut diulang oleh Pas Selangor membabitkan tuduhan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak efisien, terutama membabitkan Selgate Corporation. Pas Selangor mendakwa GLC tersebut mengalami kerugian dan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Hakikatnya perkembangan Selgate Corporation sentiasa dimaklumkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Laporan pada tahun 2023 merekodkan bahawa semenjak tahun 2018 Selgate Corporation telah mengembangkan bisnes melalui anak-anak syarikat yang terlibat dalam aktiviti seperti klinik am, klinik pergigian, farmasi, insurans, Third Party Administrator (TPA), diagnostik, home nursing, teknologi kewangan melalui Selangkah dan dialisis di samping pembinaan hospital. Terdapat beberapa isu teknikal yang melambatkan perkembangan Projek Selgate Rawang Hospital namun projek itu tetap diteruskan.
Selgate Corporation yang sedang dalam proses pembangunan buat masa sekarang dan tidak mengalami kerugian seperti yang didakwa oleh Pas Selangor, ia hanya mengalami proses pengeluaran dana untuk pelaburan. Perkhidmatan terbaik akan dapat diberikan kepada rakyat Selangor usai kesemua projek pembangunan dapat diselesaikan.
Pencemaran air, tanah
Ulangan tohmahan terakhir adalah berkenaan isu pembangunan tidak terancang di Selangor yang menimbulkan isu pencemaran air dan tanah. Namun sebenarnya Kerajaan Negeri telah dapat menangani isu tersebut semenjak tahun 2022 melalui pindaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan pindaan terhadap Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Pindaan terhadap Akta 665 meningkatkan jumlah denda sehingga RM10 juta manakala Enakmen LUAS pula meningkatkan denda maksimum sebanyak RM1 juta. Hasil positif melalui pindaan undang-undang tersebut telah dapat diperlihatkan apabila insiden pencemaran air di Selangor menunjukkan pengurangan dengan hanya dua insiden dikesan pada tahun 2022 berbanding sembilan insiden pada tahun 2020.
Kesimpulannya, segala tohmahan yang diulang berkali-kali oleh Pas Selangor ternyata tidak mempunyai asas untuk dipertahankan. Sepatutnya Pas Selangor hadir ke tahun 2025 dengan imej yang lebih progresif dan matang tanpa perlu membawa tohmahan yang pernah diulang pada tahun 2024.
Jika imej ini dikekalkan pada tahun 2025 ia akan hanya memburukkan imej parti tersebut dan menjauhkan pengundi dari mendekati mereka.
______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments