Oleh: Akmal Manaf
Warga kuaters kerajaan di Putrajaya boleh menarik nafas lega apabila tempat letak kenderaan bertingkat di Fasa 4B, Presint 8 yang sedang dalam pembinaan bakal siap pada Februari tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pembinaan lot parkir itu bertujuan untuk mengatasi kesesakan lalu-lintas akibat kenderaan yang diparkir di bahu jalan.
Katanya, pembinaan di Fasa 4B itu mempunyai 114 lot parkir kenderaan dan 52 lot parkir motosikal.
''Ada beberapa projek lot parkir telah kita selesaikan. Sebagai contoh di Fasa 5 dan 6 Presint 9 Putrajaya.
''Di situ terdapat 377 lot parkir kereta, lapan lot parkir Orang Kurang Upaya (OKU) dan 79 lot parkir motosikal,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) menyatakan terdapat keluhan yang sering diutarakan penduduk di Putrajaya berhubung isu lambakan kenderaan yang diparkir sesuka hati menyebabkan kesesakan lalu-lintas.
Situasi berkenaan disebabkan lot parkir kenderaan tidak mencukupi di kuarters kerajaan.
Sehubungan itu, Onn bertanya apakah inisiatif yang diambil kerajaan untuk menangani isu tersebut.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha menyifatkan isu berkenaan merupakan masalah yang berterusan.
Beliau berkata, dalam pembinaan pembangunan atau residensi, kerajaan sememangnya meletakkan syarat untuk memberikan lot parkir kepada penghuni.
Namun katanya, disebabkan harga yang mungkin tinggi, jadi kadangkala hanya dibenarkan satu lot parkir untuk satu unit rumah.
''Misalnya ada kawasan-kawasan yang lebih sesuai, kita boleh bagi mungkin sehingga dua lot (parkir) tapi apa pun bergantung (kepada keadaan).
''Apa kita harus juga lakukan adalah menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam.
''Alhamdulilah sejak akhir-akhir ini, di Putrajaya kita telah menerima peningkatan terhadap penggunaan pengangkutan awam,'' katanya sambil menambah pihaknya juga dalam usaha untuk menambah kemudahan itu di kawasan berkenaan.
Commentaires