
Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan kualiti latihan dan perkhidmatan, kompetensi pengamal dan pakar perubatan terus terjamin.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan perkara itu melalui satu kenyataan media susulan cadangan meminda Akta berkaitan Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway.
Menurut Dr Dzulkefly, pindaan kepada Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bertujuan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran perubatan melalui program itu.
Ia juga langkah memperkemas proses pengiktirafan dan pendaftaran sebagai pakar perubatan.
"Laluan paralel yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan program sarjana perubatan yang dilaksanakan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan berfungsi untuk melahirkan lebih ramai pakar bagi memenuhi keperluan tersebut.
"Melalui pindaan yang akan dibuat, kedua-dua laluan latihan kepakaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dari aspek
perundangan
"Dengan itu juga, para doktor yang telah menyempurnakan mana-mana program seperti di atas akan dapat didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC)," katanya.
Media pada Rabu melaporkan, sebuah Memorandum Jemaah Menteri dikemukakan oleh beliau dan Menteri Pendidikan Tinggi mengenai cadangan pindaan Akta tersebut.
Mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri pada Rabu secara prinsip bersetuju dengan memorandum berkenaan.
Susulan itu RUU bagi pindaan itu akan dibawa ke Dewan Rakyat pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024 selepas diluluskan oleh Jemaah Menteri.
Comments