
Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk terus memperkasa pembangunan sektor e-sukan termasuk untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya sedang mempertimbangkan supaya e-sukan dijadikan acara tambahan pada penganjuran temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung tahun depan.
"Setakat ini, untuk Para SUKMA hanya 10 sukan teras dipertanding antaranya boccia, badminton, memanah… namun kita memang ada perbincangan untuk masukkan e-sukan sebagai sukan tambahan.
"Kerajaan Negeri melihat golongan OKU mempunyai bakat dalam e-sukan cuma mereka tidak ada organisasi khusus untuk gilap bakat supaya lebih menyerlah," katanya dipetik.
Mohd Najwan yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 sementara itu memaklumkan, mesyuarat seterusnya menteri belia dan sukan akan memuktamadkan sukan tambahan temasya itu.
"Kita mahu sukan tambahan yang dicadang memberi peluang kepada setiap atlet ketengahkan bakat masing-masing selain dapat harumkan nama Malaysia bagi sukan lebih besar.
"Kerajaan Negeri mengenal pasti ada golongan OKU berbakat dalam acara berkenaan yang dapat mengharumkan nama negeri," tambahnya.
Comments