Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyifatkan pemimpin politik perlu membuka mata seluas-luasnya dan sedar akan kesan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Beliau berkata, ramai yang telah melalui kejadian tramautik dan kehilangan orang tersayang akibat pandemik, malah masih ada yang melalui proses kesakitan namun masih ada pemimpin politik yang bersikap acuh tidak acuh atau ambil peduli.
"Negara adalah cerminan rakyat, ahli Parlimen adalah cerminan rakyat, ahli politik patut belajar daripada pandemik ini.
"Punyalah sistem negara kita rapuh, sampai ramai yang tidak dilindungi Perkeso, tidak ada wang simpanan, wanita dalam masalah.
"Ini peluang besar pemimpin tidak kira pembangkang atau tidak, sebesar mana pun kita boleh lakukan dengan membantu mereka, masih ada ruang untuk perbaiki," katanya.
Justeru, Nurul Izzah berharap tidak ada individu yang terlalu taksub dengan pemimpin politik.
"Kita perlukan kepimpinan yang bermoral, menunjukkan integriti dan tidak langsung melanggar etika kepimpinan dan pentadbiran.
"Jadi seorang pengikut mempunyai maklumat dengan penuh kesedaran, bahawa bukan sahaja mengikut pemimpin yang dihormati tetapi mengikut pemimpin yang boleh ditegur, kita ada ruang sebagai pemegang taruh.
"Orang ramai lupa, bila ikut jejak langkah pemimpin, kayu ukurnya bukan dari segi kuasa dan kedudukan tetapi pemimpin yang meraih dari segi pengaruh dan menginsafi prinsip perjuangan," katanya.
コメント