Pameran Al-Wahyu bersempena dengan Festival Turath Islami Selangor yang dirasmikan semalam selama seminggu di Shah Alam akan membuka dimensi baharu kepada khazanah Islam di Nusantara.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Fahmi Ngah berkata, pameran Al Wahyu itu bukan sahaja mengenai perjalanan awal Islam di alam Melayu atau Nusantara tetapi juga mengenai teknologi pembinaan, perubatan dan konsumer bangsa Melayu yang telah maju setelah kedatangan Islam pada abad ke-15 dan seterusnya.
"Saya lihat pusingann awal pameran dan saya terkejut dengan apa yang dipersembahkan. Beberapa perkara yang saya nampak tadi bagaimana hendak membina meriam, bedil, ubat ubatan, termasuk cara buat sampan, juga naskah Quran ditulis dengan tangan.
"Perkara ini mengujakan saya kerana sebagai orang Melayu kita ada sesuatu yang kita banggakan kerana kita menguasai teknologi zaman dahulu.
"Kita tahu dari mana asal kita, apa yang dahulu kita ada. Semoga itu jadi inspirasi kepada orang Melayu terutama anak muda," katanya dalam ucapan perasmian semalam.
Selain itu, ujar beliau, mesej kedua yang boleh dikongsi dalam pameran itu adalah persaudaraan sesama Melayu yang luas melalui agama Islam dari Selatan Thailand sehingga ke Indonesia dan Timur Tengah.
Pameran itu juga, katanya, akan memaparkan kesenian Islam di Nusantara selepas kedatangan agama berkenaan yang banyak mempengaruhi seni bina masjid, istana dan budaya orang Melayu.
Dr Fahmi juga membuka minda dengan mengetengahkan konsep ekonomi Islam yang tidak merosakkan alam sekitar dan peka kepada kemanusiaan seperti mana digunakan oleh tamadun Barat hari ini sebagai konsep yang lebih baik berbanding ekonomi kapitalis gaya lama.
"Asas Islam menjadi asas baharu dalam sistem ekonomi dunia ketika ini. Sistem beretika dan tidak menzalimi mana mana pihak serta menjaga alam sekitar
"Hari ini aneh, kita ketinggalan dan merujuk kepada Barat (mengenai konsep ekonomi yang telah diamalkan oleh tamadun Islam awal). Sedangkan penyelesaian ini telah ada dalam Islam (sejak lama dahulu)," katanya.
Dr Fahmi mempelawa rakyat Selangor membawa anak anak ke pameran berkenaan sempena cuti sekolah untuk menambah ilmu.
Pameran Al Wahyu diadakan 26 Mei sehingga 2 Jun di Shah Alam, Selangor.
Comentários