
Kerajaan akan melakukan penambahbaikan kepada Pakej P-hailing Rahmah bagi memastikan ia memberi manfaat sepenuhnya terutama dalam menyediakan perkhidmatan Internet murah kepada pekerja sektor ekonomi gig.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, beliau mendapati terdapat kelemahan dalam sistem penyampaian maklumat kepada penunggang berhubung inisiatif kerajaan itu dan akan bekerjasama dengan syarikat berkaitan bagi mendapat analisis untuk penambahbaikan.
"Sebelum ini perbincangan yang dilakukan hanya melibatkan syarikat telekomunikasi (telco) dan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing.
"Kadang-kadang maklumat tidak sampai kepada riders. Jadi ke hadapan mungkin kita akan kaji semula pelaksanaan seperti itu kerana tidak ada manfaat yang penuh kepada riders.
"Hasrat kami bukan untuk bantu syarikat, tetapi untuk bantu riders, jadi saya akan minta sedikit post-mortem berapa ramai yang terlibat.... saya akan minta pihak kementerian untuk susun," katanya dipetik.
Terdahulu Fahmi hadir ke program Temu Anak Muda Lembah Pantai dihadiri kira-kira 150 orang termasuk pekerja e-hailing dan p-hailing pada Ahad.
Dalam program itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada para penghantar yang tinggal dan bekerja di kawasan Parlimen berkenaan.
Sebagai rekod, kerajaan MADANI memperkenal Pakej P-hailing Rahmah awal tahun lalu dengan menawarkan perkhidmatan internet pada harga serendah RM33 sebulan, dengan atau pelan data sekurang-kurangnya 40GB kepada golongan terbabit.
Inisiatif itu sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang bertugas di dalam industri p-hailing.
Sementara itu sebagai mengulas sesi Temu Anak Muda yang diadakan Fahmi berkata, beliau menerima pelbagai maklum balas dan cadangan dari pekerja sektor ekonomi gig termasuk supaya kemudahan mereka berehat dan solat dapat disediakan.
"Memang kalau kita lihat, waktu pandemik dulu riders di barisan hadapan, mereka yang bantu untuk hantar pakej-pakej makanan dan sebagainya.
"Sekarang bila kita telah kembali seperti sedia kala, kita perlu teliti isu-isu kebajikan (mereka) dan memang tidak boleh nafikan kemudahan asas seperti ini wajar, jadi mungkin saya akan cuba teliti apa yang boleh kita lakukan di Parlimen Lembah Pantai," katanya.
Comments