Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal merangka satu kod etika tatacara penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian atlet.
Menterinya Hannah Yeoh berkata, langkah itu bagi memastikan insiden seperti berlaku kepada pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia tidak berulang.
"Setakat ini kita tidak ada kod atau tatatertib yang kita boleh pakai berkenaan isu itu.
"Saya akan minta Majlis Sukan Negara (MSN) lihat apa yang kita boleh lakukan untuk pastikan perkara ini tidak berlaku," katanya dipetik.
Hannah ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Simposium Sukan Selamat Antarabangsa di Petaling Jaya pada Khamis.
Terdahulu jersi disarung Zii Jia pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjadi kontroversi apabila ia memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik.
Jersi pakaian itu ketika ini tular di media sosial ketika aksi pemain di ranking kelapan dunia itu menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen
Susulan insiden itu, penaja jersi pemain berkenaan, Victor mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan berjanji akan menyiasat perkara berkenaan.
Sementara itu Hannah menggesa setiap atlet dan pengurus pasukan untuk lebih peka pada masa hadapan bagi mengelak kontroversi seperti itu berulang.
"Saya nak minta semua atlet dan juga pengurus setiap pasukan termasuklah yang bergerak sendiri atau pasukan kebangsaan semak betul-betul jersi dan pastikan semua teratur sebelum mereka keluar ke gelanggang.
"Ini kerana apabila mereka beraksi, ia akan disiarkan kepada penonton dalam dan luar negara," katanya yang menegaskan Jalur Gemilang adalah maruah negara yang patut dijaga.
Comments