
Kerajaan mengambil keputusan menggunakan kaedah pajakan bagi perolehan 28 buah helikopter bernilai RM16.6 bilion untuk kegunaan pasukan pertahanan dan keselamatan adalah untuk menghadapi cabaran ketersediaan aset strategik negara yang rendah akibat kekangan kewangan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ketersediaan aset strategik merupakan isu kritikal timbul akibat faktor ketidakupayaan kerajaan untuk memodenkan atau membeli aset yang diperlukan itu secara terus.
"Jika kita berkeras untuk memperoleh aset melalui pembelian secara terus, tidak mustahil kita terpaksa menunggu terlalu lama atau mungkin kita sebenarnya tidak akan mampu mempunyai aset strategik yang diperlukan negara sampai bila-bila.
"Sedangkan jika memilih pendekatan pajakan, kerajaan tidak perlu membayar pendahuluan, bayaran kemajuan atau mengeluarkan perbelanjaan modal (capex).
"Di bawah kontrak pajakan, kerajaan akan hanya mula membayar komitmen apabila sudah menerima dengan sempurna helikopter yang dibekalkan kelak... itu pun bayaran (dibuat) secara bulanan mengikut kegunaan dan dipecahkan sepanjang tempoh 15 tahun," katanya dipetik menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Mohamad Khaled berkata, kerajaan memilih kaedah perolehan secara pajakan disebabkan faktor kemestian bagi pihak syarikat untuk memberi jaminan tahap ketersediaan pesawat.
"Kerajaan mensyaratkan syarikat terlibat wajib memastikan kesiapsiagaan minimum helikopter berada pada sekurang-kuranya 85 peratus pada setiap masa," katanya.
Tambah beliau sekiranya pihak syarikat gagal memastikan jaminan 85 peratus ketersediaan itu dicapai, bayaran oleh kerajaan akan dikurangkan selain berupaya menjamin 100 peratus jam penerbangan mengikut unjuran keperluan operasi semua agensi terbabit.
"Di bawah pendekatan ini, kesiapsiagaan pesawat setiap bulan akan disusun menggunakan konsep power by hour (PBH) dan ini dapat dilakukan kerana kesemua alat-alat ganti mestilah disediakan oleh syarikat pada setiap masa dan bukan dibeli hanya apabila diperlukan," katanya.
Mohamad Khaled menjelaskan menerusi perolehan pajakan itu, kesemua risiko penyediaan dan pemilikan aset tersebut menjadi tanggungjawab pihak pemberi pajak termasuk keperluan mengambil insurans sepanjang tempoh pajakan tersebut.
"Secara tidak langsung, pemindahan beban dan risiko pengurusan kepada pihak syarikat menyebabkan agensi-agensi pengguna boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas operasi udara tanpa perlu memikirkan hal-hal berkaitan penyelenggaraan pesawat seperti perolehan alat-alat ganti, ketersediaan peruntukan kewangan dan latihan," jelasnya.
Berhubung dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) bahawa harga menerusi perolehan pajakan itu lebih tinggi berbanding kerajaan membeli terus aset tersebut, Khaled berkata, peruntukan RM16.6 bilion di bawah kontrak tersebut merangkumi pakej menyeluruh selama 15 tahun.
Hamzah sebelum itu mendakwa nilai pajakan tersebut terlalu tinggi berbanding kos dikeluarkan Poland untuk membeli 32 unit helikopter AW149 pada harga RM8.5 bilion pada 2022.
"Sepintas lalu ini mungkin kedengaran lebih murah berbanding harga dibayar oleh kerajaan iaitu RM16.6 bilion, tetapi realitinya harga itu hanyalah harga pembelian helikopter, manakala RM16.6 bilion di bawah kontrak pajakan ini merangkumi pakej menyeluruh selama 15 tahun.
"Ia merangkumi penyelenggaraan dalam dan luar pangkalan, seperti MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) dan simpanan alat gantian; latihan dan kursus kepada kira-kira 1,300 juruterbang dan kru penerbangan; pemindahan kemahiran dan latihan berterusan kepada jurutera dan juruteknik agensi pengguna; penyediaan perlindungan insurans mencakupi aset semua kru, penumpang dan pihak ketiga serta kos pembiayaan atau peminjaman," katanya.
Comments