
Perolehan 28 buah helikopter secara pajakan bernilai RM16 bilion dilakukan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan armada helikopter selain mengurangkan beban fiskal kerajaan ekoran lima insiden pesawat itu jatuh terhempas sejak 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Reformasi Institusi dan Undang-Undang) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata
melalui inisiatif pajakan, kerajaan dapat mengoptimumkan perbelanjaan dengan mengagihkan beban kos secara lebih mampan sepanjang tempoh 15 tahun.
"Merujuk kajian bertajuk Aircraft Acquisition Conceptual Framework yang dibuat oleh Universiti Teknologi Malaysia dan
telah diterbitkan dalam jurnal Asian Social Science pada tahun 2017, tahap kesiapsiagaan pesawat TUDM di antara tahun 2011 dan 2015 hanya berada pada tahap 43% berbanding keperluan 70% minimum yang ditetapkan.
"Di antara tahun 2020 hingga 2024, sebanyak lima insiden helikopter milik kerajaan Malaysia jatuh memberi impak yang besar khususnya kepada tanggungan kewangan kerajaan kerana aset-aset ini terpaksa dihapus kira.
"Perbelanjaan modal (capex) untuk menggantikan aset-aset ini secara konvensional akan membebankan fiskal negara," katanya dalam jawapan lisan kepada soalan Mumtaz Nawi (Pas-Tumpat) yang disiarkan laman web Parlimen semalam.
Azalina berkata, pajakan helikopter secara kerjasama awam swasta itu adalah bagi menggantikan aset strategik keselamatan negara yang usang sekali gus meningkatkan risiko kepada keselamatan kru pesawat.
Jelasnya ini memandangkan helikopter sedia ada rata-rata berusia 12 hingga 32 tahun selain digunakan untuk pelbagai peranan seperti misi mencari dan menyelamat, ambulan perubatan, kawalan keselamatan, logistik, misi kemanusiaan dan ketenteraan.
Tambahan pula kata beliau penyahtauliahan (decommissioning) pesawat Sikorsky S-61A-4 atau lebih dikenali sebagai Nuri oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2020 telah mewujudkan jurang bilangan helikopter fleet ATM dan menambah kepada beban penugasan helikopter-helikopter sedia ada.
Azalina berkata perkhidmatan pajakan itu juga merangkumi penyelenggaraan, perlindungan insurans dan latihan untuk seramai lebih 1,300 anggota di sepanjang tempoh konsesi selain dijamin tahap ketersediaan fleet pesawat untuk kesemua agensi pengguna ke tahap minimum 85 peratus dan diberi pilihan membeli pesawat-pesawat pada harga nominal RM1 pada setiap pesawat pada akhir tempoh konsesi.
"Melalui inisiatif pajakan ini Kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dalam fasa pembekalan helikopter tersebut.
"Malahan segala kos timbul dalam tempoh masa pembekalan ini termasuk kos-kos latihan bagi kru penerbangan akan dibiayai oleh syarikat konsesi sehingga aset tersebut diterima oleh kerajaan," ujarnya.
Dalam hal ini tegas Azalina kesiapsiagaan aset strategik negara merupakan keutamaan kerana ia berperanan penting dalam memastikan kedaulatan negara, tahap keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
"Projek pajakan helikopter ini melibatkan 28 unit helikopter pelbagai model yang lengkap dengan peralatan-peralatan misi mengikut keperluan khusus seperti Pasukan Udara Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia," ujarnya sambil menambah pendekatan pajakan sebegini juga merupakan amalan biasa bagi pengurusan asset strategik dan keselamatan di negara-negara maju seperti Perancis, Kanada dan United Kingdom.
Kebelakangan ini pembangkang sering mengkritik pajakan helikopter dan bukan membelinya sebagai polisi yang merugikan. Sedangkan mereka sendiri sedar kewangan kerajaan yang terhad namun memerlukan helikopter pada kadar segera menggantikan helikopter sedia ada yang usang dan membahayakan nyawa manusia.
Comentarios