top of page

P. Ramlee, Jati Diri Melayu Dan Madani



Oleh: Dr Bam Al-Haj


ULASAN: Apabila saya mula melakukan kajian, menemuramah, mendengar lagu-lagu, menonton semula filem-filem dan membaca buku-buku tentang Seniman Agung P. Ramlee, saya dapati terdapat begitu banyak maklumat dan ilmu yang perlu digali dan dibongkar buat tatapan dan pengajaran generasi akan datang.


Saya menganggap beliau sebagai "Ikon Bakat Antarabangsa Melayu" yang tiada tolok bandingnya.


P. Ramlee adalah satu-satunya seniman yang pernah menerima anugerah "The Most Versatile Talent" di dunia ini, iaitu pada Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo pada 1962.


Tidak pernah ada sesiapa di dunia ini yang menjadi pengarah, pelakon utama, penyanyi, penyusun muzik (music arrangement) dan penulis lakon layar dalam satu-satu filem sehingga berjaya mencapai "box office" pada zaman kegemilangannya.


Pada 1956-1968, P. Ramlee melakukannya dalam lebih 20 filem, antaranya "Penarek Becha, Antara Dua Darjat, Hang Tuah, Tiga Abdul, Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Madu Tiga, Ibu Mertuaku, Nujum Pak Belalang, Musang Berjanggut dan Nasib Labu Labi".


Kenapa P. Ramlee begitu diminati ketika itu dan masih relevan hingga ke hari ini?


Jawapannya banyak. P. Ramlee "sangat Melayu" dalam lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya; dan pengarahan, lakonan dan plot filem-filem karyanya yang masih segar dan "evergreen".


Perjuangan membela golongan marhaen


Melayunya karya-karya P. Ramlee ini dilihat dan dikesan melalui watak dan dialog yang ditonjolkan dalam filem dan di luar filem.


Filem-filemnya memaparkan perjuangan membela si miskin, mengkritik si kaya dan elit penguasa.


Filem-filemnya menuntut keadilan dan kesaksamaaan dalam masyarakat Melayu zaman itu yang mengamalkan pekat sistem feudal dan terlalu individualistik akibat pengaruh Barat.


P. Ramlee berusaha menyanggah budaya Barat dengan menghasil karya bercorak keMelayuan melalui lagu dan filem bagi mengisi jiwa orang Melayu.


Katanya, jika kita tidak mendidik anak-anak muda dengan mengisi jiwa mereka dengan seni budaya dan nilai Melayu, nescaya jiwa mereka akan diisi oleh seni budaya dan nilai dari Barat.

Dr Bam Al-Haj
Dr Bam Al-Haj

Lihatlah bagaimana hebatnya P. Ramlee mencipta lagu "Allah selamatkan kamu" bagi menggantikan lagu "Happy Birthday to You" dari Barat sebagai lagu alternatif bagi menyambut ulangtahun kelahiran umat Islam setiap tahun.


Lagu itu adalah satu doa langsung kepada Allaah Subhanahu wa Ta'ala memohon keselamatan, sedangkan lagu Barat itu sekadar suka-suka tanpa unsur ketuhanan.


Di Indonesia lagu "Happy Birthday to You" itu ditukar liriknya kepada "Selamat panjang umur".


Bagi saya, itulah lagu terhebat ciptaan Seniman Agung Tan Sri Dato Amar (Dr) P. Ramlee atau nama penuhnya Ramlee bin Putih (yang asalnya ialah Teuku Nyak Zakaria bin Teuku Nyak Putih).


(P. Ramlee berketurunan Melayu Acheh daripada sebelah bapanya, dan Melayu Pulau Pinang daripada sebelah ibunya).


Bahkan, P. Ramleelah pelopor lagu-lagu dakwah di Alam Melayu seawal 1950 melalui lagu seperti "Rukun Islam", "Alhamdulillah", " Assalamualaikum", "Suara Takbir", "Dunia Hanya Pinjaman" dan banyak lagi.


Mesej perjuangan masyarakat


Menariknya, Ustaz Datuk Badlishah Alauddin dan Ustaz Datuk Kazim Elias mengakui cara sebutan bertajwid dan penggubahan rentak qasidah saduran dari Timur Tengah dalam lagu-lagu ciptaan dan nyanyian P. Ramlee.


Jati diri Melayu dinaratifkan oleh P. Ramlee melalui filem-filemnya dengan lakonan yang bersahaja, baik dalam genre drama keluarga, komedi dan patriotisme.


Mesej perjuangannya menentang ketidakadilan, penyelewengan dan pecah amanah adalah jati diri Melayu yang sepatutnya dicontohi.


Lihat sahaja contoh dialog tegas Harun dalam filem "Anak Bapak" yang menyentuh aspek tatakelola:


"Hei Saleh, kau jangan nak ajar aku jadi jahat! Segala wang yang aku joli selama ini aku guna duit aku sendiri. Kalau aku ambil duit ofis, bererti aku tipu bapak aku sendiri. Sekali aku pecah amanah, sampai bila-bila pun orang takkan percaya dengan aku! Sekali lagi kau buat begitu, putus sahabat".


Kata-kata: "Ini tak adil!" (filem Tiga Abdul), "satu untuk engkau, satu untuk aku" (Nujum Pak Belalang) dan "lihatlah darah engkau, sama sahaja dengan darahku" (Antara Dua Darjat) masih diingati hingga kini.


Unsur Madani filem P Ramlee


Filem-filem P. Ramlee juga membawa unsur Madani seperti daya cipta, hormat dan ihsan.


Daya cipta - inovasi dan kreativiti dipaparkan misalnya melalui filem "Nujum Pak Belalang" apabila Pak Belalang (hasil maklumat anaknya Belalang) menjawab 4 soalan unik nujum negara Masai.


Bahkan P. Ramleelah yang mencipta istilah pawagam (panggung wayang gambar) dan kugiran (kumpulan gitar rancak).


Kreativiti dilanjutkan oleh P. Ramlee apabila beliau berjaya meMelayukan kisah 40 Penyamun dalam Hikayat 1001 Malam melalui filem " Ali Baba Bujang Lapok" dan kisah kerajaan Turki Uthmaniah dalam filem "Tiga Abdul".


Unsur "ihsan" dipaparkan oleh P. Ramlee dalam watak Amran si penarik beca dalam filem "Penarek Becha" yang sanggup menyedekahkan semula nasi bungkus yang diberikan oleh peniaga warung kepada seorang pengemis kerana berfikir "Aku susah, ada lagi orang lain yang lebih susah".


Begitu juga dengan pemberian rumah kedai kepada anak-anak yatim dalam filem "Tiga Abdul" dan pemberian kain secara percuma kepada sekolah anak yatim dalam filem "Nasib Labu Labi".


P. Ramlee juga merealisasikan sifat ihsan dalam karakter dan hidup sehari-hariannya apabila beliau suka dan tidak lokek untuk bersedekah kepada orang yang memerlukan, NGO, sekolah dan masjid.


Oleh kerana gajinya di Shaw Brothers tinggi, apabila hari gaji, berbaris orang menunggunya di luar pejabatnya di Studio Jalan Ampas, Singapura.


Beliau memberikan sedekah dalam bentuk wang tunai, beras, gula dan minyak masak.


Maknanya, pemberian bakul makanan yang kini diamalkan oleh pemimpin politik dan NGO sekarang sudah dimulakan oleh P. Ramlee pada 1950-an lagi! Luar biasa.


Oleh kerana kejayaan dan kehebatannya, P. Ramlee tidak disenangi bahkan dimusuhi oleh sesetengah artis yang mencemburuinya.


Ada pihak yang berkomplot untuk menjatuhkannya, bahkan ada yang hendak merosakkan wajahnya.


P Ramlee berjiwa besar


Tetapi P. Ramlee tidak pernah membalasnya, malah sebaliknya berjiwa besar dan sentiasa memaafkan musuh-musuhnya.


Katanya kepada anaknya Nasir: "Dia orang tak suka daddy, tapi daddy suka dia orang. Yang dia orang tak suka daddy tu, biarlah dia orang jawab dengan Tuhan nanti".


Beliau tidak pernah berdendam.


P. Ramlee sentiasa sedar diri dan menyebut bahawa: "Aku adalah seniman ketuhanan. Seni aku bukan kerana wang, tetapi untuk masyarakat."


Itulah P. Ramlee - manusia biasa yang luar biasa.


Saya melihat P. Ramlee sebagai pemikir Melayu yang mempunyai jati diri Melayu tulen dan jujur.


Sisi dakwah P. Ramlee ini saya paparkan dalam buku "P. RAMLEE WALI SENI: Menyingkap Sisi Dakwah dan Travelog Seniman Agung Dalam Lagu, Filem dan Karakter Uniknya".


Dakwah dalam seni


Jika Wali Songo Sunan Kalijaga berdakwah menggunakan medium wayang kulit, P. Ramlee menyampaikan mesej dakwahnya melalui lagu, filem dan jati dirinya.


Idea menulis buku ini tercetus ketika saya mengikuti bengkel penulisan Dr. Azu Shahadan lapan bulan lalu.


Manakala judul buku ini diilhamkan daripada ceramah Ustaz Dato Badlishah Alauddin, Timbalan Mufti Negeri Pahang yang menyatakan bahawa "P. Ramlee ini taraf wali... Wali Seni."


Jangan tidak tahu bahawa P. Ramlee pernah berguru dengan tokoh-tokoh agama yang terkenal seperti Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Ahmad Fuad dan Haji Sulaiman Palestine, khususnya dalam bidang fiqah, tasawuf dan rawatan cara Islam.


Itulah sebabnya P. Ramlee sentiasa menyampaikan mesej dakwah dalam lagu, filem dan karakternya dalam kehidupan sehari-hariannya.


Uniknya buku saya kali ini ialah saya sengaja meletakkan "QR Code" sebagai rujukan digital dalam semua topik yang akan membawa anda kepada link sedutan filem-filem P. Ramlee, wawancara, penceritaan dan dokumentari tentang P. Ramlee yang ada dalam website, YouTube, podcast, tiktok dan Facebook.


Anda pasti akan bernostalgia dan tersenyum menontonnya, di samping mendapat maklumat dan ilmu.


Akan terbit selepas Hari Raya Aidilfitri.


Selamat berpuasa dan Salam Ramadhan al-Mubarak untuk semua.


 

Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page