
Konvensyen Otai Reformis Johor akan diadakan pada bulan September ini.
Menurut Penolong Setiausaha Pertubuhan Otai Reformis Johor, Hamdan Basiran, konvensyen tersebut dijangka mengumpulkan Otai Reformis Johor dan reformis dari seluruh negara untuk mengenang kembali pahit maung perjuangan serta memperteguh roh perjuangan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke-10.
Katanya, hal itu dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Persiapan Konvensyen Otai Reformis Johor yang diadakan kelmarin.
"Program konvensyen dijangka diadakan pada bulan September, bersempena dengan sambutan Bulan Malaysia, di salah sebuah hotel terkemuka di Kluang, yang juga dikenali sebagai Bandar Mahkota.
"Lima pembentangan ceramah akan diadakan, menampilkan tokoh sejarah, tokoh reformis, tokoh ulama, dan juga wakil generasi muda, yang akan berkongsi pengalaman serta visi untuk masa depan," katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran wakil Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor yang juga Ketua Cabang Kluang, Abdul Hamid Ali yang memberi sokongan penuh kepada persiapan tersebut.
Hamdan berharap konvensyen berkenaan akan menjadi salah satu acara besar di negeri Johor yang membawa inspirasi dan semangat baharu kepada semua yang terlibat dalam perjuangan menegakkan keadilan dan pembangunan negara.
Comments