
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah melaksana 3,275 pemeriksaan menerusi Ops Pantau 2025 sejak ia dilancarkan pada Ahad.
Menterinya, Dr Fuziah Salleh berkata, pemeriksaan dijalankan di seluruh negara dengan lokasi tumpuan termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit .
Aktiviti penguatkuasaan itu jelasnya mencerminkan keseriusan pihak kerajaan dalam memastikan tiada pihak yang menaikkan harga sesuka hati, tidak meletakkan tanda harga, atau menggunakan alat penimbang yang tidak sah.
"Selepas dua hari dilaksanakan, kita juga menerima 116 aduan, mengeluarkan 21 kompaun bernilai RM6,600 serta nilai rampasan sebanyak RM900," katanya dalam satu sidang media pada Selasa.
Dr Fuziah sebelumnya melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di Kipmall Kota Warisan, Sepang.
Sementara itu sebagai mengulas mengenai BRR beliau berkata, setakat ini terdapat 96 lokasi BRR di seluruh negara, termasuk sembilan di Selangor.
Kerajaan memperuntukkan RM9.36 juta untuk diagihkan dalam bentuk e-dompet kepada peniaga dan pengunjung BRR bagi menggalakkan transaksi digital.
"Apa yang istimewanya, di BRR ini, pengunjung dapat membeli Menu Rahmah pada harga RM5 dan melakukan transaksi digital. Pada hari ini, sebanyak 6,000 e-dompet diagihkan kepada peniaga dan pengunjung.
"Masing-masing akan menerima RM100 bagi peniaga dan RM20 bagi pengunjung," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Fuziah menafikan laporan berlaku kenaikan harga makanan sebanyak 20 peratus daripada peniaga.
"Setakat yang ini, kita tak ada aduan (kenaikan harga makanan) yang berkenaan itu. Kita tak terima aduan," tambahnya.
Comments