
Ops Pantau 2025 telah dilaksana bermula hari pertama sambutan Ramadan dan akan diteruskan sehingga Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan pematuhan peniaga berdasarkan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali menerusi satu kenyataan berkata operasi itu dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasaraya dan kedai runcit.
"Pemeriksaan di bawah Ops Pantau 2025 memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, perbahasaan halal dan penjualan barang keperluan Hari Raya Aidilfitri," katanya dipetik.
Menerusi kenyataan sama Armizan berkata, pihak kementerian juga akan mempertingkat keberadaan anggota penguatkuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna.
Kementerian juga akan mengoptimumkan pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasa yang beroperasi setiap hari mulai 8 pagi sehingga 8 malam bagi memastikan tindakan susulan segera diambil terhadap sebarang aduan, maklumat dan pertanyaan pengguna.
"Saya telah mengarahkan Bahagian Penguatkuasa KPDN supaya pemantauan lebih kerap dan bersasar dibuat di premis runcit seluruh negara dalam bulan Ramadan dan menjelangnya bulan Syawal.
"Semua peniaga diingatkan agar terus mematuhi segala perundangan berkaitan dan memberikan komitmen terhadap gerakan Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT)," tambahnya.
Armizan sebelumnya menyertai tinjauan ke beberapa premis antaranya Pasaraya Giant Seri Kembangan dan Pasar Raya Lotus's Kajang bagi memantau isu semasa berkait bekalan di akar umbi.
Comments