Operasi bersepadu yang dilancarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bulan lalu telah berjaya mengambil tindakan ke atas sejumlah kes jenayah scam atas talian, peminjam wang haram (along), love scam serta pelaburan tidak wujud.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat pagi ini.
"Di Malaysia kerugian akibat jenayah dalam talian berjumlah RM1.224 bilion dari Jan hingga Okt 2024. Termasuk online scam, jenayah telekomunikasi, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.
"Ini juga hasil tindakan rampasan (ke atas) sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along yang mana modus operandinya memberikan pinjaman wang dengan pantas tetapi menetapkan kadar faedah tinggi," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Suhaizan Kaiyat (PH-Pulai).
Bagaimanapun kata Anwar, terdapat beberapa masalah dihadapi termasuk wujudnya peranan berbeza pemberi pinjaman wang, pemungut hutang, pegawai khidmat pelanggan, agen pengeluar wang, akaun mule, pemilik akaun, agen simbah cat, agen risalah di dalam kebanyakan kes membabitkan sindiket tersebut.
Namun begitu, kata Anwar, dalam tindakan bersepadu itu tujuh buah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen telah diserbu kerana melanggar Peraturan 15A, peraturan pemberi pinjaman wang kerana melanggar syarat pemberian pinjaman.
Syarikat tersebut, katanya, didapati memegang kad ATM peminjan. Kebanyakan syarikat disiasat kerana melanggar Akta Pinjaman Wang 1951, Kanun Keseksaan 436, Akta 506 dan Peraturan Pemberi Pinjaman Wang 2024.
"Sebanyak 25 kertas siasatan berjaya (membawa kepada) dituduh dengan pelbagai kesalahan
"Langkah ini secara terselaras oleh PDRM, SKMM, KDN, Bank Negara, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan Kementerian Perumahan (dianggap berjaya)," katanya.
Selain itu, PM juga memberitahu dewan langkah pencegahan yang diambil kerajaan dengan penubuhan laman web https://semakmule.rmp.gov.my/.
Menurut PM, sehingga 31 Okt 2024 sebanyak 181,628 nombor telefon direkodkan dalam semak mule, juga nombor akaun yang mencurigakan sebagai langkah amaran awal kepada pihak yang dihubungi oleh penjenayah.
Comments