Oleh: Abdullah Zaid
Pemburuan pingat emas pertama Malaysia perlu menjadi keutamaan memandangkan negara jiran seperti Indonesia dan negara Asia lain telah lama berjaya melakukannya.
Dalam hal ini Pengarah Komunikasi AMK Wilayah Persekutuan, Goh Kah Yong mencadangkan agar kerajaan meningkatkan sistem pendidikan sukan negara supaya setanding dengan standard sukan antarabangsa sebagaimana diamalkan di negara maju.
"Antaranya (kita perlu) menyediakan lebih banyak dana untuk membangunkan program sukan di peringkat sekolah sekaligus dapat memberi peluang kepada bakat muda untuk berkembang dengan lebih efektif.
"Selain itu teknologi latihan yang canggih serta sistem analisis data yang lebih baik perlu diperkenalkan untuk membantu atlet mencapai prestasi yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, tambah baik dari segi kebajikan dan ganjaran setimpal kepada atlet negara juga dapat melahirkan bakat-bakat muda menceburi bidang sukan.
Katanya, sistem sokongan kerjaya sewaktu atlet mencebur diri daam sukan dan jaminan peningkatan kerjaya selepas bersara sebagai atlet juga menjadi daya penarik untuk anak muda menjadi jaguh sukan profesional.
"(Kerajaan perlu) menyediakan lebih banyak manfaat seperti insurans kesihatan, sokongan kerjaya selepas persaraan dan faedah lain yang dapat menarik minat lebih ramai individu untuk menceburi bidang sukan," katanya lagi.
Untuk rekod, Malaysia menamatkan cabaran Sukan Olimpik Paris 2024 di tempat ke-80 bersama Albania, Grenada dan Puerto Rico selepas meraih dua pingat gangsa.
Sukan badminton menjadi lubuk gelanggang pingat negara menerusi pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia pula tidak sebagaimana diimpikan mara ke perlawanan akhir.
Ketika ini pencapaian terbaik negara adalah pada Sukan Olimpik Rio 2016 dengan kutipan empat perak dan satu gangsa, sementara di Tokyo 2020 satu perak dan gangsa, Beijing 2008 satu perak dan Atlanta 1996 satu perak dan gangsa.
Comentários