Oleh: Akmal Manaf
Mangsa yang terlibat dalam kejadian pukul di sebuah tapak pasar tani di Chukai, Terengganu pada 17 Januari lalu seharusnya mendapat bantuan dan sokongan pelbagai pihak agar keadaan fizikal dan mental lelaki orang kurang upaya (OKU) tersebut pulih.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu, Amira Alias berkata, sebagai sebuah parti memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan sosial, pihaknya akan terus berusaha memastikan setiap lapisan masyarakat, terutamanya golongan OKU, mendapat perlindungan dan layanan setara di sisi undang-undang.
Beliau menegaskan, pihaknya mengutuk keras sebarang bentuk kekerasan dan diskriminasi terhadap OKU yang sepatutnya hak mereka dilindungi.
Menurut laporan katanya, mangsa telah diserang secara fizikal oleh individu tidak bertanggungjawab sekali gus menyebabkan kecederaan fizikal dan trauma emosi yang mendalam.
"Ini adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima mana-mana pihak dalam masyarakat kita yang bertamadun.
"Saya juga ingin menegaskan bahawa segala bentuk keganasan terutama terhadap golongan OKU adalah suatu jenayah yang harus dihentikan.
"Kami mendesak pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat," tegasnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Amira turut menyeru semua pihak untuk bekerjasama memupuk kesedaran dan tanggungjawab bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Beliau yang dukacita dengan kejadian itu menyifatkan, keamanan dan keharmonian masyarakat hanya dapat dicapai dengan sikap saling menghormati dan menghargai setiap individu, tanpa mengira status atau kekurangan.
Sebelum ini laporan media menyebut, siasatan awal polis mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi kejadian telah bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak pagi 17 Januari lalu.
Semalam, polis telah menahan empat individu dipercayai terlibat dalam insiden melibatkan lelaki OKU berusia 47 tahun itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja'afar berkata, tiga saksi awam juga telah dipanggil untuk diambil keterangan berhubung insiden tersebut.
Comments