Negara Islam di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu membangunkan sistem kewangan berasaskan teknologi semasa dan moden.
Hal itu merupakan intipati ucapan pembukaan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang mewakili Malaysia pada Sesi ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) di Istanbul, Republik Turkiye, semalam.
Menurut Fahmi, persidangan yang dirasmikan oleh Presiden Recep Tayyip Erdoğan itu selain memberi kesempatan kepada Malaysia untuk mengemukakan cadangan di peringkat antarabangsa, juga memilih Qatar untuk mewakili rantau Arab manakala Gambia dipilih menyampaikan kenyataan bagi pihak blok Afrika.
"Dalam ucapan itu saya menekankan soal kerjasama teguh yang perlu dicapai sesama negara OIC memandangkan populasi rakyat Islam di dunia hampir mencecah 25 peratus.
"Jalinan tersebut antara lain membolehkan negara anggota OIC membangunkan ekosistem kewangan yang moden, cekap dan inklusif.
"Ini penting dalam usaha mengukuhkan sistem pembayaran digital, serta memenuhi pelbagai keperluan masyarakat Islam global, sambil mematuhi prinsip kewangan Islam," katanya.
Di samping itu, Fahmi turut berkongsi kejayaan ekonomi Malaysia terutama dalam dua tahun terakhir yang menerima pelaburan amat tinggi termasuk daripada negara negara Islam.
"Saya berkongsi kejayaan Kerajaan Malaysia meningkatkan pelaburan asing termasuk dengan negara OIC pada tahun 2023.
Alhamdulillah, momentum ini kekal untuk 2024," katanya lagi.
Fahmi juga, mengambil peluang keemasan dalam ucapan itu mempelawa negara OIC menyertai Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) yang akan diadakan di Dubai pada 18 hingga 20 November ini.
Comments