Parti BERSATU dianggap cuba memanipulasi istilah ‘terhenti keahlian’ berhubung kedudukan enam ahli parlimen parti itu, tegas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim.
"Apa yang jelas kita nampak ialah mereka ini (enam ahli parlimen dari BERSATU) dipecat meskipun ada percubaan memanipulasi istilah 'terhenti' bagi memenuhi selera tekak Muhyiddin.
"Penafsiran peruntukan itu harus dilihat secara konteks keseluruhannya. Jangan menuding jari kepada orang lain, menuduh speaker sebagai songsang dan sebagainya.
"Kamu dahulu yang enggan bersetuju untuk pindaan itu (Akta Anti Lompat Parti) dilakukan dengan lebih ketat. Kenapa Ketua Pembangkang perlu menggelupur sekarang. Marahlah presiden kamu," katanya dipetik.
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia itu sebelumnya membidas tuduhan Muhyiddin kononnya Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul membuat tafsiran songsang apabila mengumumkan bahawa enam wakil rakyat mantan anggota Bersatu kekal sebagai Ahli Parlimen bebas.
Mengulas lanjut Muhammad Kamil mencabar Muhyiddin untuk menyatakan dengan jelas sama ada enam Ahli Parlimen terbabit dipecat atau tidak.
Beliau merujuk kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada November 2023 lalu bahawa beliau bertegas mahu memasukkan klausa yang menyatakan Ahli Parlimen yang melanggar kehendak parti akan kehilangan kerusi mereka secara automatik.
"Tan Sri Wan Junaidi dengan jelas menyatakan bahawa PN ketika itu sebahagian kerajaan enggan menyokong akta ini sekiranya tidak menggugurkan dua syarat iaitu melanggar arahan parti dan melanggar arahan Whip berlandaskan untuk dapat kelulusan di Dewan Rakyat," katanya.
Justeru berdasarkan penerangan Dr Wan Junaidi, enam Ahli Parlimen itu dipecat oleh Bersatu dan tiada istilah 'terhenti keahlian' seperti didakwa oleh parti berkenaan.
Berdasarkan perkara 49A(2) (c) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu menurut Perkara ini hanya disebabkan oleh (c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.”
Comments