
Nuzul al Quran atau hari al Quran diturunkan merupakan detik bersejarah membezakan umat Nabi Muhammad s.a.w yang dibekalkan ilmu wahyu dan keadaan jahiliah sebelumnya.
Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, umat Islam seharusnya mempertingkatkan azam untuk memperbanyakkan ilmu agar mengangkat martabat diri mengambil semangat Nuzul Quran.
"Alhamdulillah di hari yang penuh keberkatan ini, kita diberi kesempatan untuk bersama-sama memperingati peristiwa penting Nuzul Al-Quran tatkala wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW di Gua Hira’.
"Wahyu pertama, yakni Iqra’ (Bacalah), menjadi titik permulaan sebuah era berasaskan ilmu dan menjadi panduan dalam mengangkat martabat insan dengan nilai keadilan dan ihsan.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan pada diri dan seluruh umat Islam dengan pesanan taqwa, teruskan tadabbur al-Quran dengan mata hati, dan kejarlah keampunan Allah SWT pada pertengahan Ramadan ini.
"Semoga kita dipilih oleh Allah SWT untuk bertemu dengan lailatul qadar, malam seribu bulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Anwar, al-Quran adalah hidayah dan petunjuk bagi hamba-hamba yang bertaqwa. Katanya sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan serta mengharapkan reda Allah akan merasai manisnya taqwa.
"Salam Nuzul Quran saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia walau di mana pun kalian berada," katanya lagi.
Comments