Oleh: Abdullah Zaid
Selepas 25 tahun jatuh bangun dalam perjuangan dan mengharungi pelbagai pancaroba, perjalanan Parti Keadilan Rakyat pada masa hadapan diyakini akan lebih teguh dan utuh.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, KEADILAN dijangka akan kekal relevan dan terus diterima rakyat kerana KEADILAN adalah sebuah parti yang mewakili semua kaum tanpa meminggirkan mana-mana suara, meliputi semua lapisan masyarakat.
Oleh itu, Pengerusi Social & Ecocomic Research Initiative (SERI) itu mahu identiti KEADILAN terus dipertahankan oleh jentera parti.
"Kenapa parti KEADILAN releven? Kerana parti ini yang mewakili semua kaum.
"Ia akan menjadi benteng pertahanan utama sekirannya Malaysia menerima tekanan, maka kita mahu jelas dengan jati diri kita," katanya dalam program Karnival 25 Tahun KEADILAN di Sentul Depot, hari ini.
Dalam mengimbau episod jatuh bangun perjuangan dua dekad itu, Izzah yang 25 tahun lalu digelar sebagai "Puteri Reformasi" menyeru anak muda agar mempunyai nilai integriti yang tinggi.
Beliau jelas mengharapkan anggota KEADILAN ketika telah menjadi kerajaan mempunyai kewibawaan dan yang memegang jawatan kerajaan mengekalkan akauntabiliti.
"Harapan saya untuk anak muda dengan kehidupan yang suntuk ini, kita perlu menjaga kredibiliti dan memberi khidmat (terbaik) kepada generasi akan datang.
"Saya mohon tolong jaga kredibiliti, harga diri dan pilihan apabila bersama dengan parti ini," ujarnya lagi.
Comments