Oleh: Abdullah Zaid
Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) menggesa semua negara mengiktiraf Palestin dengan menandatangani perjanjian perdagangan dengan negara itu seperti dilakukan Brazil.
Penasihat Mahar Nurul Izzah Anwar berkata, susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini yang mengisytiharkan pendudukan jangka panjang Israel di wilayah Palestin sebagai tidak sah, peluang pendidikan dan perubatan dua hala yang konkrit untuk semua rakyat Palestin sama ada di dalam atau di luar negara juga perlu diwujudkan.
"Langkah ini selaras dengan pengiktirafan dan sokongan terhadap Palestin. Adalah penting untuk melegitimasi dan mengangkat perjuangan hak asasi manusia, menentang penindasan yang berterusan oleh Israel serta undang-undang yang diperkenalkan untuk menyamarkan sebarang kritikan terhadap negara yang tidak berprinsip itu.
"Kita kesuntukan masa, marilah kita bersatu untuk memulihkan kedaulatan undang-undang antarabangsa dan melindungi hak asasi manusia," katanya dalam satu kenyataan.
Brazil awal bulan ini dilapor melaksanakan perjanjian perdagangan bebas dengan Palestin sebagai tanda sokongan kepada perjuangan memerdekakan negara itu.
Ia adalah sumbangan kepada negara Palestin yang berdaya maju dari segi ekonomi, yang boleh hidup aman dan harmoni dengan jirannya
Kementerian luarnya juga turut menjelaskan Brazil mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan membenarkan kedutaan Palestin dibina di ibu negara Brazil pada 2010.
Sementara itu Nurul Izzah melalui kenyataan yang dikeluarkan semalam menegaskan, Mahar mendesak semua supaya tidak sekadar menghormati keputusan ICJ tetapi perlu meneliti senarai syarikat yang tetap terlibat dalam jenayah perang Israel.
Beliau menjelaskan, pada 20 Jun lalu, pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pakar bebas dan kumpulan kerjanya mengeluarkan seruan supaya negara-negara terlibat untuk menghentikan penjualan, pemindahan dan pengalihan senjata, peluru serta peralatan ketenteraan lain ke atas Israel.
"Pengilang senjata yang membekalkannya kepada Israel termasuk BAE Systems, Boeing, Caterpillar, General Dynamics, Lockheed Martin, Northrop Grumman, Oshkosh, Rheinmetall AG, Rolls-Royce Power Systems, RTX, dan ThyssenKrupp juga harus menghentikan penyaluran bekalan walaupun ia dilakukan di bawah lesen eksport yang ada.
"Dengan menghantar senjata, bahagian, komponen dan peluru kepada tentera Israel, syarikat-syarikat ini berisiko terlibat dalam pelanggaran serius hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa," ulasnya.
Comments