top of page

Nur Farah Kartini: Satu lagi episod kekejaman ke atas wanita



Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: Tragedi pembunuhan terhadap Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah graduan pintar yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan daripada Universiti Sultan Idris (UPSI) yang mayatnya ditemui dalam parit di kawasan ladang kelapa sawit amat meruntun hati.


Mayat gadis yang berasal dari Sarawak itu dibiarkan mereput dalam parit tersebut di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor sehinggalah ditemui kira-kira 6 petang pada Isnin lalu.


Satu lagi kisah - berita yang bermula daripada laporan kehilangan berakhir dengan kematian yang amat ngeri.


Pengakhiran yang sedih


Sebagai ibu yang memiliki anak yang sebaya dengan arwah Nur Farah Kartini, sukar untuk penulis bernafas tenang selepas mengetahui pengakhiran hidup gadis rupawan ini.


Tanpa sedar sewaktu menulis catatan ini pun terasa air mata bertakung menanti masa untuk membasahi pipi.

Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah

Terbayang wajah arwah Nur Farah yang ceria, manis, cergas bergaya.


Foto-foto dan video wajah arwah Nur Farah tersebar luas hingga berkesan di minda dan jiwa penulis.


Nyawanya diragut dengan rakus, sadis serta zalim.


Terkini diberitakan ahli keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini telah pun menuntut jenazah beliau di Hospital Sungai Buloh, Selangor.


Jenazah arwah disolatkan terlebih dahulu di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung, Selangor.


Seperti kata abang Allahyarhamah, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28 tahun, jenazah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Betan, Pekan, Pahang.


Penghujung kisah Allahyarhamah, bukan sahaja penulis yang amat terkesan, pastinya rata-rata yang membaca berita gadis ini tersentuh hati tentang nasib malang yang menimpa dirinya.


Arwah Nur Farah Kartini, 25 tahun telah dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya.


Suspek seorang lelaki


Susulan penemuan mayatnya yang reput di wajah dan dada, polis kemudian menahan seorang lelaki yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim, Perak.


Suspek direman selama tujuh hari hingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas dakwaan membunuh arwah Nur Farah Kartini.


Pelbagai laporan disiarkan di media mengenai pembunuhan itu termasuk arwah Nur Farah Kartini dikatakan menjalin hubungan dengan suspek sebagai teman lelakinya yang sudah pun berumahtangga.


Ada juga yang mendakwa suspek mencekik Nur Farah sehingga kehabisan nafas lantaran rasa panik dan marah kerana teman wanitanya itu dikatakan mengugut untuk memberitahu isterinya tentang hubungan mereka jika enggan berkahwin dengannya.


Aduhai..semakin banyak berita mangsa melintasi dunia maya serta mulut ke mulut semakin meruntun hati.


Pesan penulis - kes ini masih lagi dalam proses siasatan. Jangan menjadi penyebar fitnah.


Arwah Nur Farah Kartini sudah tiada untuk membela diri serta bercerita apa yang terjadi pada saat terakhir nyawanya diragut.


Beri ruang pihak berkuasa menyiasat


Berilah ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan adil dan mengikut tatacara serta undang-undang negara.


Marilah kita bersama-sama mendoakan agar arwah mendapat keadilan di dunia dan syurga tertinggi menanti beliau di akhirat.


Arwah Nur Farah Kartini adalah satu lagi episod kekejaman yang meragut nyawa seorang lagi wanita.


Semoga selepas ini marilah kita berusaha dan berdoa agar kezaliman seperti ini tidak lagi berulang.

_________________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page