Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa terutama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang kegiatan perlombongan dan penyeludupan secara haram unsur nadir bumi (REE) ke luar negara.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad yang ditemui pemberita selepas menghadiri satu acara di Kuala Lumpur pada Rabu berkata, pihaknya sedia maklum mengenai isu itu yang dikesan di beberapa lokasi, termasuk di Kedah, Perak dan Kelantan.
"Kegiatan itu memang merugikan negara, justeru kita sedang berusaha mengekangnya. REE adalah perkara baharu untuk pihak berkuasa, malah ada sebahagiannya tidak maklum lagi bentuk REE.
"Saya juga ada dengar maklumat, kadang-kadang REE keluar dari sempadan secara sah tetapi diisytiharkan sebagai tanah liat atau benda lain.
"Oleh itu, kita sedang meningkatkan kerjasama dengan JKDM dan PDRM untuk mereka juga faham bagaimana bentuk REE dan penyeludupan ini berlaku," katanya dipetik.
Nik Nazmi sebelumnya hadir sebagai panel pa da Sesi Dialog Pasca Persidangan Parti-Parti Ke-16 Kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD COP16).
Semalam media melaporkan penahanan 55 individu dipercayai terbabit kegiatan perlombongan bahan mineral unsur nadir bumi (REE) disyaki secara haram di Gua Musang, Kelantan.
Comments