NRES ganda usaha tingkat populasi Tapir Malaya - Nik Nazmi
- Suara Keadilan
- 15 hours ago
- 2 min read

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menggandakan usaha bagi mengatasi kes kematian Tapir Malaya akibat kemalangan jalan raya.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sepanjang tempoh lima tahun sejak 2020 sebanyak 112 ekor Tapir Malaya disahkan mati akibat dilanggar kenderaan di jalan Persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya.
"Pelbagai inisiatif dan inovasi dilaksanakan pihak kementerian bagi mengatasi kes kematian tapir akibat kemalangan jalan raya," jelasnya.
"Antara yang dilaksana antaranya pemasangan jalur rentas kuning, papan tanda LED (diod pemancar cahaya) hidupan liar melintas dan solar amber light di beberapa lokasi seperti di Gerik, Perak dan di Kedah.
"Kementerian juga sedia mempertimbangkan untuk memperluas inisiatif yang dilaksanakan ke kawasan bersesuaian termasuk di Selangor yang ada kes-kes kematian tapir," katanya dipetik.
Nik Nazmi berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Tapir Sedunia di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun di Kuala Kubu Baharu pada Sabtu.
Hari Tapir Sedunia disambut pada 27 April setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan spesies tapir, selain meraikan usaha konservasi yang telah dan sedang dilaksanakan terhadap spesies hidupan liar berkenaan.
Sementara itu Nik Nazmi berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menganggarkan ketika ini terdapat diantara 700 hingga 800 ekor haiwan liar itu berada di habitat asal.
Sebagai usaha digalakkan untuk meningkatkan pembiakan spesis itu, Nik Nazmi berkata kementerian melalui PERHILITAN akan terus mempergiat usaha konservasi secara kaedah in-situ (di habitat asal) dan ex-situ (di luar habitat asal seperti pusat konservasi).
"Selain itu, perlindungan habitat dan koridor ekologi akan terus diperkukuh dengan pembinaan jejambat di Koridor Ekologi Sungai Deka di Terengganu, Koridor Ekologi Sungai Yu di Pahang dan Koridor Ekologi Gerik.
"Malah kerja-kerja bagi tujuan pembinaan Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan juga sudah kita mulakan ketika ini," katanya.
Комментарии