Oleh: Akmal Manaf
Fahaman mengarut yang dibawa pembangkang lewat insiden pengibaran bendera China di majlis Sambutan Guan Gong Sedunia, bahawa kaum Cina Malaysia adalah tidak patriotik perlu dinokhtahkan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, Cina Malaysia tidak seharusnya difitnah walhal kaum Cina negara ini sejak puluhan tahun lalu berganding bahu memajukan negara.
Manakala ungkapan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang mendakwa Cina Malaysia kurang patriotik berhubung insiden itu menggambarkan ada yang 'tidak beres' dengan sikap pemimpin berkenaan terhadap konsep masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Ia menunjukkan seperti ada permusuhan peribadi antara beliau dengan bukan saja Cina, tetapi saya lebih suka menggunakan perkataan DAP.
"Namun saya juga hendak menyebut, kalau dia menyelar rakan-rakan dalam DAP, kita lihat rakan-rakan DAP di bawah pentadbiran yang ada sekarang, mula menunjukkan sikap hormat dan keterbukaan mereka.
"Sikap itu dipamerkan dalam memahami seni bahasa dan budaya dalam negara ini yang mereka tahu dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tokoh-tokoh agamawan," kata Siti Aishah.
Tambah beliau, menerusi pengamatannya, hujah mengarut yang diuar uarkan oleh pemimpin Pas pada ketika ini adalah kerana parti itu ketandusan modal politik.
Katanya, pemimpin pembangkang mengambil apa sahaja isu untuk dijadikan bahan perdebatan tanpa mengambil kira risiko runtuhnya perpaduan kaum.
"Mereka ini tidak mahu berfikir atau menerima sesuatu itu dengan berlapang dada. Mereka menjadikan semua perkara sebagai bahan politik," kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Aishah berkata, rakyat Malaysia seharusnya mempunyai satu pendirian kenegaraan dengan menyatakan fahaman pelampau yang dibawa pembangkang pada waktu ini perlu dihentikan dan ditolak daripada arus perdana politik negara.
Pada 26 Oktober lalu, dilaporkan lebih 300 penyokong pembangkang berhimpun di pekarangan Menara Condong, Teluk Intan dipercayai susulan insiden bendera China dikibarkan di hadapan bangunan warisan itu ketika Sambutan Guan Gong Sedunia, dua hari sebelumnya.
Rata-rata peserta yang hadir membawa bendera Jalur Gemilang membanjiri tapak ikon pelancongan berkenaan sejak jam 5 petang sambil menyanyikan lagu patriotik Negaraku, Jalur Gemilang, Saya Anak Malaysia dan Negaraku nyanyian Faizal Tahir.
Comments