Nilai agama ditekankan oleh puak ektrem atau khawarij dalam sejarah Islam amat bertentangan dengan syariat Islam yang sebenar.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, di Malaysia politik ekstrem atau yang menganut ideologi khawarij dilihat mengamalkan ciri ciri yang menyulitkan ajaran Islam kepada para pengikutnya dan rakyat awam lainnya.
"Sifat ekstrem, melampau, politik khawarij, politik kebencian ini nilai yang dibawa bercanggah dengan satu ciri syariat, iaitu tidak mempersulitkan. Sedangkan fahaman khawarij membawa kepada Islam itu dilihat susah, tidak boleh hidup damai dengan orang lain. Kalau orang tak sokong dia, tak boleh.
"Inilah asas pemikiran ekstrem. Dia menyulitkan Islam yang sifatnya mudah. Mudah bukan boleh langgar syariat, ada disiplinnya.
"Jadi bila kata (musuh politik dilabel) kafir harbi (maka) sulitlah. Mereka bermudah mudah (label) kafir harbi. Bila kafir harbi implikasinya harta boleh dirampas, boleh dihalau keluar dari kediaman. Itu sulit, sudahlah (alasan hukum) tidak betul. Agama jadi sukar," katanya dalam Forum Kemerdekaan: "Menangani Ekstremisme Agama Demi Perpaduan Negara" yang dianjurkan oleh AMANAH Wilayah Persekutuan di Adamsom Hotel, Kuala Lumpur semalam.
Mujahid jelas menegur puak pembangkang yang mengamalkan Islam keras, mengutamakan kelompok parti mereka sahaja dan tidak toleran kepada bukan Islam atau umat Islam berlainan ideologi politik di negara ini.
Katanya, salah satu sifat yang ada dalam ektremisme ialah mereka suka membawa mesej benci membenci sesama manusia dan golongan yang tidak menyokong aliran mereka dianggap kafir, munafik atau pelbagai lagi ungkapan yang terlalu umum.
Mujahid memberi contoh ayat 'lawanlah musuh Islam' ditafsir oleh puak berkenaan sebagai tidak menyokong kelompok mereka dan dicop sebagai musuh agama.
"Fenomena ini berleluasa, diwajarkan atas nama Islam (dan oleh mereka) yang menggelarkan diri mereka kepimpinan ulama," katanya.
Beliau turut menegur tindakan Ahli Parlimen Pas sebelum ini yang membaca qunut nazilah apabila salah seorang wakil rakyat pembangkang dikenakan hukuman digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Katanya, tidak wajar qunut nazilah yang dituju ke atas kafir yang membunuh orang Islam dibaca pada waktu yang menumbulkan pemahaman tertuju kepada pihak yang menggantung Ahli Parlimen pembangkang tersebut.
Sikap ekstrem seperti itu katanya, amat merbahaya kerana hukuman berat dijatuhkan atas alasan mereka tidak menyukai sesuatu golongan.
Comments