
Oleh: Abdullah Zaid
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menzahirkan perasaan dukacita atas pemergian Puan Anne Ooi atau lebih dikenali sebagai ‘Aunty Bersih’ yang meninggal dunia pada 25 Mac lalu.
Dalam majlis peringatan di Gereja St Joseph Sentul hari ini, Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz (gambar atas) menyifatkan mendiang Anne sebagai seorang aktivis yang gigih dan perlu menjadi contoh kepada generasi muda dalam membawa perubahan.
Jelasnya, imej ikonik beliau sebagai pejuang rakyat itu akan selamanya dikenang dan menjadi teladan buat rakyat Malaysia demi mencapai negara yang lebih baik.
"Kita amat merasai kehilangan Aunty Bersih kerana beliau terlibat dalam aktivisme ini sudah bertahun lamanya.

"Pemergian beliau sudah semestinya akan menjadi lambang tokoh rakyat dalam memperjuangan demokrasi negara yang lebih baik.
"Oleh itu, pihak Bersih mengucapkan takziah dan kita berharap agar pemergian beliau terus menjadi inspirasi dan semangat khususnya kepada anak muda dalam memperjuangan prinsip Reformasi yang dibawa," katanya kepada media.
Mendiang Anne merupakan anak jati Bukit Mertajam Pulau Pinang dan Anne bekas guru Bahasa Inggeris meninggal dunia pada umur 78 tahun.
Kelibat mendiang acapkali dilihat dalam siri demonstrasi jalanan dianjurkan Bersih sebelum ini dan menjadi ikonik tatkala beliau disimbah dengan air bercampur kimia oleh Polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di luar Hospital Tung Shin ketika Perhimpunan Bersih 2.0 pada 2011.
Comments