Oleh: Akmal Manaf
Industri nadir bumi (REE) yang dasarnya sedang dirangka membenarkan bahan berkenaan dilombong dan diproses di Malaysia.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, hal itu juga membabitkan kilang prmprosesan bahan nadir bumi sedia ada seperti Lynas Corporation yang telah sedekad beroperasi.
Menjawab pertanyaan warga maya mengapakah Pakatan Rakyat dahulu menentang operasi Lynas tetapi pada waktu ini membenarkan industri sama dijalankan, katanya, hal itu bergantung kepada teknologi dan dasar negara serta keuntungan yang lebih besar kepada rakyat.
Katanya, ketika Lynas ditubuhkan dan dibawa masuk ke Malaysia, syarikat perlombongan itu mengambil bahan mentah daripada Australia dan dibawa masuk ke negara ini.
''Selepas itu ia diproses dan bahan yang diproses tersebut dihantar semula ke Australia. Kemudian (hasil) buangan itu disimpan di Malaysia.
''Berbanding sekarang, apabila kerajaan menyusun untuk membangunkan industri nadir bumi (REE), keputusan kita adalah sebarang pemprosesan mestilah dibuat di sini (Malaysia) dan bahan mentah juga dari Malaysia.
''Jadi, ianya ada nilai tambah di Malaysia. Sudah tentu bila bahan buangan itu diletakkan di sini, ia tidak sama konsepnya dengan apa yang berlaku ketika pelaburan Lynas dibawa masuk pada 2011 dahulu,'' katanya dalam rancangan podcast 'Yang Bakar Menteri' menjawab pertanyaan pempengaruh Lim Sian See, malam tadi.
Menjelaskan lebih lanjut, Rafizi yang juga Timbalan Presiden KEADILAN menyifatkan, sebelum ini Malaysia menjadi tempat buangan dengan nilai tambah pelaburan yang sedikit.
''Dulu Malaysia jadi tempat buangan dan tambah nilai sedikit sahaja, tetapi industri berkenaan dibangunkan di Australia.
''Kalau kita lihat negara lain yang mempunyai mineral banyak contohnya Indonesia, mereka turut mengambil pendekatan yang sama,'' ujarnya lagi.
Menurut Rafizi, Pakatan Harapan (PH) kerana pada ketika itu masih belum ada pemetaan mineral di Malaysia secara menyeluruh yang menunjukkan potensi REE di negara ini.
Ketika itu juga, katanya, belum ada permintaan terhadap bateri dan kereta elektrik (EV) serta penggunaan REE secara menyeluruh dalam industri eletronik seperti sekarang.
Permintaan kepada REE hanya meningkat bermula antara tahun 2016 ke atas, kata Rafizi.
Comments