Keputusan kerajaan untuk melesenkan syarikat penyedia platform media sosial mulai awal tahun depan mendapat perhatian beberapa negara lain yang ingin mengetahui cara ia dilaksanakan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihaknya percaya sebaik Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan lebih banyak negara ingin mengetahui pencapaian pelaksanaan proses pelesenan itu.
"Badan kawal selia komunikasi United Kingdom (UK) atau Ofcom menjadi antara pihak yang menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan pelaksanaan pelesenan itu.
"Pihak Singapura juga ada bertanya mengenai proses pelesenan itu, (namun) penting untuk diingatkan bahawa lain negara mempunyai lain cara (pelaksanaan) mengikut undang-undang terpakai di negara tersebut," katanya dipetik Bernama selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 zon Sarawak di Kuching hari ini.
Fahmi dalam ucapannya sebelum itu memberitahu, tindakan Malaysia yang mewajibkan semua syarikat platform media sosial yang besar memohon lesen beroperasi mulai Januari tahun depan telah "membuka mata" negara lain untuk turut menjejaki langkah negara ini.
"Ini kali pertama sebuah badan kawal selia Barat (Ofcom) menghubungi kita dan bertanya bagaimana untuk melesenkan kerana mereka sudah berhempas pulas berusaha menyelesaikan isu ini begitu lama.
"Jadi kita mungkin jadi penggerak pertama dalam isu ini sebab rata-rata banyak kerajaan seluruh dunia merasakan bahawa syarikat teknologi besar ini tidak boleh lagi berbuat sesuka hati mengumpul kekayaan tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang. Ia akan berakhir tidak lama lagi," katanya.
Pada awal bulan ini, Fahmi dilaporkan berkata berdasarkan kerangka kawal selia baharu yang disediakan oleh SKMM dan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mana-mana platform yang tidak mempunyai lesen selepas 1 Januari 2025 boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 126 akta berkenaan.
Sekiranya didapati bersalah, penyedia perkhidmatan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.
Kerajaan menegaskan pelesenan media sosial hanya terpakai untuk pengendali platform itu dan bukannya kepada pengguna atau pempengaruh.
Dalam tempoh penguatkuasan peraturan baharu itu, semua platform media sosial dikehendaki memperkukuhkan langkah mereka dalam membendung penipuan dalam talian, buli siber dan aktiviti eksploitasi seks terhadap kanak-kanak.
Comments