Negara dan negeri hanya akan menjadi maju sekiranya pemimpinnya berintegriti dan mempertahankan prinsip kepimpinan yang bersih.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepimpinan parti itu perlu terus mempertahankan prinsip perjuangan apatah lagi menghadapi cabaran yang lebih besar apabila diberi mandat menjadi Kerajaan Persekutuan pada ketika ini.
"Saya tahu bila Kerajaan Perpaduan Madani ditubuhkan, kita menghadapi pelbagai tekanan dan serangan. Kita warisi hutang yang banyak. Warisi keadaan di mana masalah rakyat banyak dan tidak mungkin dalam beberapa bulan kita selesaikan semua.
"Tetapi apa yang beza (berbanding kerajaan lain)? Kita tidak tolak ansur salah guna kuasa dan pemimpin mencuri harta rakyat. Saya mahu saudara dengar, (sama ada di) Kuala Lumpur, Putrajaya, Kota Kinabalu, Kangar, Kuala Terengganu saya tidak peduli.
"Kita mesti jaga negeri ini. Negara ini kaya, negeri ini kaya, jangan izinkan pimpinan guna kuasa memperkaya diri dan keluarga mereka," katanya dalam Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah bertempat di Sabah International Convention Centre hari ini.
Perdana Menteri sebelum itu mengucapkan syabas kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menolak ancaman luar terhadap Sabah dan berikrar akan terus membawa aspirasi rakyat Sabah bersama Malaysia
"Bila ada ura ura negara luar mahu menggugat kedaulatan Sabah, saya ucap terima kasih kerana Ketua Menteri dan kerajaan Sabah membuat kenyataan yang tegas akan mempertahankan setiap inci tanah Sabah merdeka bersama Malaysia
"Kedua tekad (beliau) untuk fokus soal pembangunan negara," katanya lagi.
Comments