
Oleh: Akmal Manaf
Malaysia terus konsisten menyatakan pendirian membantah serta mengutuk keganasan Israel ke atas rakyat Palestin.
Sehubungan itu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohammad Sabu menyeru masyarakat di negara ini untuk berkumpul di Masjid Tabung Haji (TH) pada 28 Mac depan selepas solat Jumaat dan bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi menunjukkan solidariti.
Dalam isu kemanusiaan ini katanya, rakyat Malaysia akan bersolidariti dan tidak berdiam diri agar dunia cakna dengan bantahan keganasan yang dilakukan Israel.
''Kita bukan sekadar mengecam Zionis Israel. Kita juga nak menyatakan kekecewaan dan marah kepada negara-negara Arab yang membiarkan saudara se-Islam kita di Palestin terus ditindas.
''Sampai bila negara Arab nak jadi pak turut kepada Amerika? Sampai bila mereka nak takut pada bayang-bayang sendiri?,'' beliau menyoal dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam isu itu, beliau turut menjadikan Afrika Selatan sebagai contoh dalam membantah kekejaman yang dilakukan Israel.
Beliau menyifatkan, Afrika Selatan sebagai sebuah negara bukan Islam tampak lebih berani daripada semua negara Arab yang kaya-raya itu.
''Mereka halau duta Israel, mereka bawa kes ke mahkamah antarabangsa, mereka tak takut pun pada tekanan sekutu Israel. Ini baru negara yang ada prinsip.
''Tapi kita? Kita terus berharap pada Hamas, Hizbullah, dan Jihad Islami untuk lawan Israel. Kita harap pada Iran dan Yaman negara yang disekat ekonominya untuk buat kerja berat.
''Negara-negara Arab yang kononnya kuat? Mereka jadi pemerhati sambil hisap shisha,'' tempelak beliau lagi.
Dalam hal sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menzahirkan rasa pelik dengan negara-negara Arab kononnya saudara se-Islam yang didakwa terus berdiam diri.
''Mereka lebih sibuk menjaga hati Amerika dan kuncu-kuncunya daripada menjaga nyawa rakyat Palestin.
''Ada duit minyak berbilion-bilion, tapi nak keluarkan sepatah dua kata pun susah,'' bidasnya.
Terdahulu, berdasarkan laporan media, jumlah kematian akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza kini sudah melebihi 49,600 orang, dengan ribuan lagi mengalami kecederaan sejak konflik bermula pada Oktober 2023 itu.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, dalam tempoh 24 jam terakhir sahaja, 85 rakyat Palestin terbunuh dan 133 cedera, menjadikan jumlah keseluruhan kecederaan sejak peperangan bermula kepada 112,950 orang.
Comments