Negara ASEAN berusaha cari jalan mengatasi tarif AS - PM
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Perang dagang yang memuncak antara Amrika Syarikat (AS) dan China namun tarif tinggi dikenakan juga kepada lebih 150 negara di dunia bagi mengelakkan lambakan barangan murah masuk ke negara kuasa besar itu dibantah oleh negara ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth semalam menolak tarif timbal balik dikenakan AS tersebut.
Kata beliau, Malaysia dan negara ASEAN akan berusaha mencari jalan untuk mengurangkan tarif itu agar kesannya tidak begitu terasa kepada perniagaan.
"Kita tidak menghadapi cabaran ini sebagai satu negara sahaja, tetapi sebagai satu gabungan bersama dengan kesemua 10 negara ASEAN.
"Malaysia bersama semangat negara-negara ASEAN akan terus mencari jalan untuk mengatasi cabaran ini," katanya dipetik.
Tegas Anwar, beliau telah menghubungi ketua ketua negara ASEAN dan cuba untuk mendapatkan pendirian bersama menolak tarif tinggi yang dikenakan AS.
Katanya selain negara-negara ASEAN, Malaysia juga mempunyai hubungan baik dengan AS, Eropah dan China.
Selain itu, beliau juga maklum dengan kegusaran Pulau Pinang sebagai negeri yang banyak mengeksport produk ke AS yang bakal terkesan dengan tarif terbabit.
"Pulau Pinang telah menyuarakan kebimbangan terhadap tarif tersebut memandangkan industri eksport semikonduktor melebihi RM200 bilion dan 60 peratus daripadanya adalah ke AS.
"Saya telah menasihati Ketua Menteri (Pulau Pinang) bahawa dalam setiap cabaran, setiap krisis, kita boleh merungut dan tidak menyerah kalah atau kita boleh kumpulkan tenaga untuk mencari penyelesaian, kita perlu cari jalan untuk bangkit," katanya.
Sebelum ini, PM mengalu alukan penangguhan sementara pelaksanaan tarif AS selama 3 bulan dan berharap rundingan boleh dilakukan bagi mengurangkan tarif 24% yang dicadangkan tersebut.
Comentarios