Negara negara kaya Arab dan Islam sepatutnya mengenakan lebih tekanan terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk menghalang sekutu mereka Israel daripada terus membunuh rakyat Palestin.
Pengerusi Biro Antarabangsa Parti AMANAH Negara, Raja Bahrin Shah berkata, dengan kebergantungan negara Barat terhadap sumber minyak dan gas dari dunia Arab maka tekanan boleh dijadikan kaedah menyelesaikan konflik.
"Apa yang membingungkan kebanyakan pemerhati dan umat Islam lain ialah kekurangan langkah konkrit dan tindakan positif oleh negara jiran Palestin yang kaya, iaitu negara-negara Arab.
"Dengan sumber minyak dan gas yang lumayan dan kekayaan yang melimpah ruah, negara-negara Arab boleh memberi pengaruh tekanan yang lebih besar terhadap AS dan Eropah untuk menekan dan menghentikan Israel daripada terus melakukan pembunuhan besar-besaran di Gaza dan Tebing Barat.
"Dengan usaha kolektif dari seluruh dunia dan tambahan usaha tegas oleh negara-negara Arab ini, AS dan Barat akan mendapati hampir mustahil untuk tidak mengendahkan seruan menghentikan pembunuhan kejam oleh Israel," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, kata Raja Bahrin, dengan semangat hari raya korban atau Aidiladha yang bakal menjelang beliau berharap negara negara Arab akan lebih bersemangat untuk membela Palestin.
Begitu juga, katanya persidangan negara muslim dan Arab di China yang bakal membincangkan isu Palestin pada waktu ini diharap membuahkan hasil positif.
"Marilah kita semua berdoa agar negara-negara Arab muslim menyertai kita dalam usaha gerakan global yang semakin kuat menghentikan pembunuhan berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
"Pada masa ini, beberapa negara Islam terkemuka sedang menghadiri persidangan di China dan isu 'Palestin' akan dibincangkan di Beijing. Marilah kita berdoa agar keputusan-keputusan positif yang besar akan dibuat di persidangan tersebut.
"Menjadi harapan besar umat Islam sedunia pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin dihentikan sebelum datangnya Hari Raya Korban - Aidiladha, pada pertengahan bulan hadapan," katanya lagi.
Sebelum itu, Raja Bahrin membariskan beberapa usaha negara bukan Islam yang sedaya upaya mahu menghentikan keganasan Israel di Gaza.
Katanya, Afrika Selatan telah memulakan prosedur Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap pemimpin Israel. Tiga negara Eropah utama - Sepanyol, Ireland dan Norway mengiktiraf negara Palestin manakala Slovenia dan Malta dilaporkan sedang dalam proses untuk berbuat demikian.
Mahkamah terkemuka Dunia di Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB), ICJ dan ICC pula, katanya, telah membuat keputusan undang undang untuk menghentikan pembunuhan (genosid) berterusan di Palestin.
Sementara itu, Turkiye menghentikan perdagangan dan semua urusan dengan Israel sebagai solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin manakala Algeria telah merangka resolusi untuk Majlis Keselamatan PBB menghentikan serangan ke atas Rafah di Gaza.
Comentarios