
Bekas Ketua Wanita KEADILAN Johor, Napsiah Khamis mengumumkan bertanding merebut jawatan Timbalan Ketua Wanita pada pemilihan parti yang bakal berlangsung Mei ini.
Menurutnya, keputusan untuk bertanding jawatan itu dibuat dengan mengambil kira semangat dan roh perjuangan para pemimpin wanita terdahulu, Datin Fatimah Hashim dan F.R. Bhupalan.
"Keputusan ini setelah berbincang dengan rakan-rakan dan selepas mendapat restu daripada keluarga.
"Saya insaf cabaran besar menanti, pun begitu saya meyakini dapat memberikan pilihan kepada para anggota KEADILAN dari sayap Wanita.
"Saya meyakini dapat memberikan sumbangan yang mampu mengangkat perjuangan wanita ke aras yang lebih baik dan bermaruah," katanya dalam satu kenyataan.
Pengumuman Napsiah itu menyaksikan beliau mengulangi pertembungan dengan bekas ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli yang telah mengumumkan untuk mempertahankan jawatan tersebut.
Pada 2022 Juwairiya menewaskan Napsiah dan seorang lagi pesaingnya, Faizah Ariffin dalam pertandingan tiga penjuru.
Sementara itu Napsiah menerusi kenyataan sama menegaskan, beliau sejak kecil telah diasuh untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi menyumbang kepada masyarakat dan negara.
"Asuhan inilah menjadi motivasi saya berbakti kepada masyarakat, menjadi cita-cita dan impian untuk mengangkat martabat kaum wanita di negara ini yang merupakan kesinambungan perjuangan pemimpin wanita terdahulu yang telah meletakkan solid foundation sejak dari sebelum merdeka dan di era awal kemerdekaan.
"Nikmat kemerdekaan serta pembangunan pesat hari ini tidak mungkin tercapai tanpa sumbangsih kaum wanita," katanya.
Comments