Oleh: Abdullah Zaid
Keputusan Kabinet bersetuju menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa hasil gesaan Perdana Menteri bakal meningkatkan hubungan antara kerajaan pusat dan negeri.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Tumpat, Zamakh Sari Ibrahim, projek penambahan 400 meter landasan terbang yang telah dipohon oleh kerajaan Kelantan sejak era Menteri Besar Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pada awal 2000 lalu tentunya akan menaikan nama Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim di hati rakyat Kelantan.
Katanya, rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang itu selepas ini tidak perlu lagi untuk pergi ke negeri lain menaiki penerbangan, khususnya bagi mengerjakan ibadah haji atau umrah.
Begitu juga, katanya, dalam kalangan pimpinan Kerajaan Negeri diharapkan tidak lagi menyerang Anwar secara tohmahan kononnya zalim, pendendam dan sebagainya seperti sebelum ini.
"Kita lihat sudah ada tanda-tanda sifat keterbukaan Kerajaan Negeri dengan kerajaan pusat untuk mewujudkan hubungan yang lebih erat (projek naik taraf dan lain lain).
"Usaha ini menunjukkan PM tidak pernah mengabai kemajuan mana-mana negeri biarpun diperintah oleh pembangkang," katanya kepada Suara Keadilan.
Selain itu, Zamakh tidak menolak keterbukaan kerajaan pusat itu akan membawa kepada hubungan yang lebih mesra antara kerajaan dan pembangkang serta membuka lembaran baharu dalam politik Pas yang didominasi golongan lama yang bersikap keras terhadap Kerajaan Madani sebelum ini.
"Saya nampak (keterbukaan ini) perlu dipandang (dari) sudut positif kerana Perdana Menteri merencanakan usaha ke arah kestabilan politik, jadi jajaran baharu itu perlu dilihat sebagai satu potensi kestabilan negara," ujarnya.
Kelmarin Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek LTSIP dipanjangkan daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter bagi menaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa.
Jelasnya, projek itu disegerakan dan dimasukkan dalam fasa dua projek naik taraf selepas Perdana Menteri membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Kabinet Rabu lalu.
Comentarios