Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Apa lagi penjawat awam mahukan, segala yang terbaik termasuk pelbagai kemudahan yang dinikmati telah diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) kepada mereka.
Begitulah ulasan spontan yang kedengaran sebaik sahaja PMX mengumumkan kenaikan gaji untuk kakitangan awam semalam.
Khabar gembira ini sewajarnya disambut oleh penjawat awam dengan menunjukkan komitmen yang lebih tinggi, berdisplin, gigih, setia serta beramanah menjalankan tugas.
Pastinya harapan kita mahu melihat penjawat awam bersama-sama PMX memacu Malaysia Madani dengan lebih cemerlang demi kesejahteraan negara yang tercinta.
Kenaikan gaji libatkan 1.6 juta kakitangan
Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberi khabar gembira kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini.
Khabar gembira berupa kenaikan gaji antara 7% hingga 15% kepada mereka bermula 1 Disember depan.
Kenaikan sebanyak 15% untuk pegawai Kumpulan Pelaksana, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala 7% kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Kenaikan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 pada 1 Januari 2026.
12 tahun tanpa semakan
Setelah 12 tahun tidak dilakukan semakan, pengumuman Anwar semalam tentunya suatu berita baik buat penjawat awam dan keluarga mereka.
Sebagai golongan yang berperanan besar kepada rakyat dan negara melalui pelbagai fungsi untuk memastikan hubungan antara rakyat dan negara sentiasa terjalin, terbukti kini mereka adalah golongan yang dihargai oleh Perdana Menteri.
Mereka kini boleh menarik nafas lega untuk merancang pelbagai perkara dalam kehidupan dan seterusnya memberi sumbangan yang terbaik secara berterusan kepada rakyat dan negara.
Kenaikan gaji penjawat awam ini juga tentunya disambut gembira oleh seluruh rakyat kerana ia memberi kesan yang berangkai kepada semua golongan.
Selain keluarga tumpang gembira, pelbagai sektor perniagaan juga akan turut berkembang dengan kenaikan gaji penjawat awam seperti sektor perniagaan dan perkhidmatan.
Ini sekaligus bermakna akan merancakkan lagi kitaran ekonomi negara kita. Dengan kemurahan hati PMX semoga penjawat awam bekerja dengan lebih rajin, setia serta amanah.
___________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments