Penerokaan unsur nadir bumi (Rare Earth Element) yang melibatkan Menteri Besar Kedah dan menjadi perhatian umum selepas pendedahan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru baru ini menyebabkan KEADILAN Kedah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Menurut Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Kedah, Firdaus Johari (empat dari kanan), laporan tersebut dibuat berdasarkan dua artikel di akhbar Sinar Harian bertajuk 'Gerakan Anti Sanusi (GAS) serah memorandum berkaitan REE' (2 Mac 2023) dan 'Kerajaan Kedah digesa beri penjelasan isu teroka dan kecurian REE' (14 Julai 2023).
"Melalui artikel tersebut, kami mengesyaki berlakunya unsur salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan projek penerokaan unsur nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik yang bernilai hampir RM 60 bilion oleh Menteri Besar Incrorporate (MBI)
"Selain itu, pada tarikh yang sama kami juga membaca ciapan twitter Datuk Lokman Adam berkaitan satu dokumen bertarikh 3 Ogos 2020 yang menunjukkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi telah memohon Pas Lawatan Pekerja Asing daripada China untuk bekerja di tapak berkeluasan 1,220 hektar di Sik, Kedah.
"Surat ini ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri, namun tindakan Menteri Besar Kedah membuat permohonan ini adalah di luar bidang kuasa kerana sepatutnya permohonan dibuat oleh syarikat yang dilantik," kata Firdaus dalam sidang media di luar Pejabat SPRM cawangan Kedah, pagi tadi.
Menurut Penyelaras DUN Gurun itu lagi, rakyat Kedah amat prihatin dengan isu penerokaan nadir bumi dan laporan penangkapan beberapa pekerja dari negara China yang dikatakan melombong bahan tersebut secara haram di tanah milik Kerajaan Negeri.
Sehubungan itu, kata Firdaus, SPRM perlu menyiasat adakah terdapat ketirisan atau salahguna kuasa MB dalam hal berkaitan nadir bumi tersebut.
"Kami khuatir tindakan MB Kedah ini adalah satu bentuk ketirisan kuasa dan terdapat unsur rasuah daripada syarikat terlibat.
"Kami mengutuk dan menentang sekeras-kerasnya salah guna kuasa dan penyelewengan oleh pemimpin Kerajaan Negeri.
"Oleh itu kami berharap pihak SPRM dapat melakukan siasatan penuh dan terperinci dalam isu yang diadukan ini," katanya lagi.
Comments