top of page

N Sembilan umum bantuan RM200 Aidilfitri kepada kakitangan awam



Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Aidilfitri bernilai RM200 kepada hampir 50,000 penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu yang akan disalurkan sebelum Mac ini.


Menteri Besar (MB) Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan yang pertama kali dilaksanakan itu membabitkan semua penjawat awam termasuk kakitangan Persekutuan, guru, polis, bomba, tentera dan perkhidmatan lain melibatkan peruntukan hampir RM10 juta.


"Pemberian ini sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangan mereka dalam memberikan kerjasama dengan agensi yang sedia ada.


"Ini memberikan kita kepercayaan yang kita rasai pada hari ini kerana itu saya rasa wajar dan dengan pemberian RM200, saya yakin akan memberikan satu tanda ingatan daripada kerajaan negeri kepada mereka semua," katanya dipetik selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 dan Pra Pelancaran Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) semalam.


Pada November lalu, Aminuddin mengumumkan pemberian BKK sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri itu.


Bantuan berkenaan akan diberikan kepada 6,613 penjawat awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pembayaran dijadual pada Januari dan sebelum Aidilfitri, Mac ini.


Terdahulu, Aminuddin berkata mengenai prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang mencapai lebihan pendapatan bagi tiga tahun berturut-turut.


"Sehingga 31 Disember 2024, hasil negeri yang berjaya dikutip berjumlah RM636 juta bersamaan 122.31 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM520 juta.


"Ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan dan mencerminkan dedikasi, integriti, dan usaha gigih seluruh penjawat awam di Negeri Sembilan.


"Inilah hasil muafakat dan integrasi gabungan muka lama dan baharu anggota pentadbiran kerajaan yang berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri," katanya.


Dalam pada itu, Aminuddin berkata Kerajaan Negeri melantik semua penjawat awam di negeri itu sebagai 'duta' untuk membantu promosi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.


Sektor pelancongan merupakan sumber ekonomi mampan dan lestari bagi negeri itu dengan kedatangan pelancong meningkat 30 peratus, iaitu sebanyak 15 juta orang pada 2023 berbanding 11.5 juta orang pada tahun sebelumnya.


"Tahun ini, kita sasarkan kedatangan 20 juta pelancong berbanding 17 juta pada 2024. Kerajaan negeri menetapkan segmen pelancongan melalui pecahan 60 peratus pelancongan pantai, ekopelancongan (30 peratus) dan pelancongan adat, warisan serta budaya (10 peratus)," katanya.


Negeri Sembilan kaya dengan kawasan tarikan pelancongan terutamanya yang berteraskan alam semula jadi seperti pantai dan Taman Eko Rimba selain turut dikenali dengan keunikan Adat Perpatih.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page