Negeri Sembilan akan turut melakukan pelarasan kenaikan gaji penjawat awam di negeri itu seperti dilakukan di peringkat Persekutuan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengkaji mengenai keputusan itu selain perkara tambahan berkaitan sebelum ia dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan datang.
"Kita suka atau tak suka, apabila Kerajaan Persekutuan umumkan kerana melibatkan kakitangan awam, kita (negeri) kena selaraskan, sudah tentu melalui pengumuman itu, Kerajaan Negeri harus laksanakan bersama iaitu melibatkan gaji dan gred sama di Persekutuan.
"Kita tunggu apa jua keputusan Kerajaan Persekutuan semalam dan apa yang yang berlaku bukan setakat 15 peratus tapi turut membabitkan kenaikan lain termasuk lantikan kontrak, (caruman) KWSP dan gaji minimum RM2,000 yang harus diberi perhatian," katanya kepada pemberita di Seremban semalam.
Aminuddin berharap dengan kenaikan tersebut, prestasi dan produktiviti kakitangan awam juga akan terus ditambah baik selain dapat mengurangkan rungutan dalam kalangan pekerja di peringkat bawahan.
"Memang akan ada implikasi kewangan, tanggungjawab sekarang untuk pastikan kita cukup untuk bayar gaji penjawat awam kita, pakej kita akan ikut Persekutuan, tidak lebih, tidak kurang," katanya.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini melibatkan kos lebih RM10 bilion.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang disemak, kerajaan akan memastikan gaji minimum keseluruhan penjawat awam juga mencapai melebihi RM2,000 sebulan.
Kenaikan tersebut merupakan yang tertinggi dalam sejarah sektor awam di negara ini.
Comments