Malaysia maju setapak lagi dalam bidang kajian genetik ke atas setiap etnik di negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, selama ini negara tertinggal dalam kajian genetik yang banyak memfokus kepada orang Eropah, Amerika atau Asia Timur.
Tegasnya, sudah tiba masa negara ini membuat kajian genetik sendiri supaya setiap rakyat diwakili dengan tepat melalui MyGenom, iaitu identiti genetik tempatan.
"Dengan MyGenom, kita akan menjujuk 10,000 genom rakyat Malaysia, memastikan kepelbagaian genetik kita diwakili sepenuhnya dalam kajian global.
"Dengan memahami susunan genetik kita, MyGenom akan membantu kita dalam perubatan tersuai, membolehkan rawatan yang lebih tepat dan bersasar untuk semua rakyat Malaysia. Ini bukan sekadar teknologi, ia tentang menjaga kesihatan kita secara lebih baik.
"MyGenom bukan hanya untuk kajian; ia juga akan menetapkan garis asas variasi genetik normal rakyat Malaysia. Ini penting untuk mengenal pasti variasi genetik yang berpotensi menyebabkan penyakit, sekaligus meningkatkan ketepatan dalam diagnosis," katanya dalam kenyataan.
Menurut Lih Kang, kajian yang diterajui National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dan Institut Kesihatan Negara (NIH) itu dilakukan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam kemajuan sains global, sambil melindungi dan mempromosikan kepelbagaian genetik rakyat tempatan.
Katanya, MyGenom akan membuka teknologi baharu kepada kesihatan rakyat Malaysia.
"Masa depan kesihatan yang lebih baik bermula dengan data genetik kita sendiri.
"Jom sama-sama kita sokong MyGenom dan lihat bagaimana kita boleh memanfaatkan teknologi ini untuk kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya lagi.
Comments