Musim durian gugur di sebahagian kawasan di Sarawak tahun ini bermula dari November hingga akhir Disember 2023 memberi limpahan rezeki kepada penduduk tempatan yang berjaja raja buah itu di tepi jalan.
Bagi Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, pesta jualan durian terutama di lalauan menuju ke Kuching, di Pekan Lachau dan Sungai Tengang yang memberi rezeki tambahan termasuk menjual buah buahan lainnya seperti manggis dan ranbutan perlu diberi perhatian.
Katanya, pemimpin setempat dan Pihak Berkuasa Tempatan seharusnya prihatin mengenai aspek keselamatan kepada peniaga buah dan juga para pembeli yang berkerumun di tepi jalan.
"Apa yang merisaukan ialah keselamatan peniaga dan pembeli yang berhenti di lokasi peniaga durian di sepanjang jalan tersebut.
"Tiada tanda - tanda keselamatan yang kelihatan. Langkah langkah keselamatan seperti menyimpan kon-kon yang dijarakkan dari lokasi peniaga harus dilakukan supaya peminat durian dan pengguna jalan raya yang lain boleh mengetahui lebih awal terdapat aktiviti perniagaan di hadapan.
"Dalam hal ini, ketua ketua masyarakat harus memainkan peranan untuk menasihati anak anak buah mereka tentang langkah langkah mencegah kemalangan.
"Di samping itu pemantauan dari pihak berwajib juga diperlukan. Langkah berjaga jaga sebelum terkena harus diberi perhatian dengan serius," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Abang Zulkifli lagi, keadaan jalan raya yang baik mendorong pemandu membawa kenderaan dengan laju. Selain itu, musim tengkujuh menyebabkan permukaan jalan berkeadaan licin dan hal itu boleh mengundang bahaya pada bila-bila masa.
"Justeru peminat-peminat durian dan peniaga durian jalanan harus memberi perhatian terhadap keselamatan ini. Juga pengguna jalan raya serta orang awam perlu lebih berhati hati berhubung keselamatan para peniaga dan pembeli durian itu sendiri," katanya lagi.
Comments