Ketua Cabang KEADILAN Mukah, Mohd Arwin Lim Abdullah menggesa kerajaan supaya menyediakan sebuah hospital yang lengkap dengan kemudahan terkini kepada penduduk Mukah.
Beliau berpendapat, hospital sedia ada kini sudah jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan hospital di daerah lain yang lebih baik dari segi fasiliti mahupun kepakaran sedia ada.
"Pembinan hospital dan tapak yang baharu serta sesuai haruslah dirancang serta dilaksanakan segera.
"Kita tidak mahu masyarakat Mukah akan terus menghadapi masalah kemudahan kesihatan lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti pandemik sekarang," katanya.
Tambah Mohd Arwin, pembinaan hospital baru dan dilengkapi kemudahan terkini akan mamput menjimatkan masa dan kos penduduk Mukah.
Katanya, jika hospital sedia ada dinaik taraf sudah pasti ia akan menelan kos yang lebih besar.
"Saya yakin, dengan adanya hospital baharu kelak sudah pasti ramai tenaga pakar, kakitangan hospital yang akan dinaiktaraf dan segala masalah yang dihadapi masyarakat Mukah sekarang akan dapat diatasi," katanya.
Katanya lagi, perkara itu perlu diatasi segera kerana beliau mendapati ramai pesakit berdepan dengan pelbagai masalah hingga mereka terpaksa pergi ke Hospital Sibu atau Hospital Bintulu walaupun terletak sejauh 140km dan memakan masa dua tiga jam untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Jelas perkara ini sangat membebankan mereka terutamanya bagi golongan yang kurang berkemampuan," katanya.
Comments