Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Apapun niatnya keceluparan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin 'mengomel-gomel' budi bicara dan wibawa Yang Dipertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad dalam pelantikan Perdana Menteri (PM) selepas Pilihan Raya Umum (PRU)15 lalu akhirnya mengundang padah.
Apalah lagi yang beliau tidak berpuas hati hingga masih 'mengomel-gomel' berkaitan lantikan PM sehingga terbawa-bawa ke Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri?
Akibat tidak 'move on' seperti yang dilaporkan dalam media-media tempatan, bekas Perdana Menteri itu bakal berdepan siasatan polis.
Dikeketepikan angkat sumpah PM?
Terdahulu dalam ceramah kempen di PRK Nenggiri baru-baru ini, Muhyiddin mendakwa beliau telah diketepikan untuk menjadi Perdana Menteri meskipun memiliki sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang lebih daripada mencukupi.
"Waktu itu saya memiliki sokongan sejumlah 115 Ahli-Ahli Parlimen, tetapi entah kenapa saya tidak dijemput ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah," demikian dakwanya dalam ceramah tersebut.
Sebagai bekas Perdana Menteri, Muhyiddin seharusnya faham bahawa kuasa melantik Perdana Menteri adalah budi bicara Yang Dipertuan Agong.
Sesiapa Ahli Parlimen yang pada hemat baginda dipercayai memiliki sokongan mencukupi, maka pemimpin itulah akan dilantik sebagai Perdana Menteri.
Sokongan melalui parti
Dakwaan Muhyiddin beliau memiliki sokongan 115 Ahli Parlimen bukan syarat mutlak untuk beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kerana berdasarkan Akta Anti Lompat Parti sokongan tidak lagi boleh disandarkan kepada Akuan Bersumpah Ahli Parlimen individu sebagaimana sebelumnya, sebaliknya sokongan yang sah adalah secara keseluruhan parti.
Ertinya jika parti membuat keputusan lain setelah ada Ahli Parlimen parti berkenaan menzahirkan sokongan kepada seseorang, yang diterima ialah ketetapan parti.
Selain mengambil kira pelantikan Perdana Menteri mestilah selaras dengan Akta Anti Lompat Parti, budi bicara Yang Dipertuan Agong pula adalah ketetapan yang tidak boleh dipertikaikan sama sekali.
Muhyiddin seharusnya tahu dan faham mengenai hal tersebut dan perkara itu sudah termaktub dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sejak merdeka.
Oleh itu, adalah amat tidak wajar beliau memperkatakannya lagi setelah hampir dua tahun peristiwa tersebut berlaku.
Menjaja cerita itu secara terbuka tidak ubah seperti berterusan 'mempertikaikan' kewibawaan Yang Dipertuan Agong ke-16 dalam menjalankan tugas baginda berdasarkan Perlembagaan negara.
29 laporan polis
Sehingga ini dilaporkan telah ada sebanyak 29 laporan polis terhadap Muhyiddin, dan Pengerusi PN itu telah ditetapkan untuk memberi keterangan kepada pihak polis esok (Selasa).
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Ibrahim Alam Shah selain murka dengan kenyataan Muhyiddin itu, baginda juga mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
Pelbagai pihak lain juga turut mahukan Muhyiddin diambil tindakan atas kenyataan beliau yang tidak sepatutnya.
Demi mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu dan sistem Raja Berperlembagan yang menjadi amalan negara kita, Muhyiddin tidak harus terlepas daripada tindakan atas perbuatannya ini.
Ia harus menjadi pengajaran bukan saja kepada Muhyiddin, tetapi juga kepada kita semua yang mencintai kedamaian hidup dalam sebuah negara bernama Malaysia.
_______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments