top of page

Muhyiddin pertikai tidak dilantik PM: Tengku Hasanal mahu PDRM ambil tindakan



Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin dalam satu ceramah Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri pada 15 Ogos lalu mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak melantik beliau sebagai Perdana Menteri (PM) mengundang murka Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Sultan Abdullah.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Tengku Hasanal terkilan di atas tindakan Muhyiddin yang secara sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah sewaktu baginda menjawat Yang di-Pertuan Agong ke XVI pada 2022 lalu.


Titah Tengku Mahkota, Muhyiddin sebagai seorang bekas PM dan ahli politik veteran telah dengan sengaja memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif bahawa Agong pada ketika itu seolah olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke 10.


"Kenyataan beliau juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.


"Kenyataan yang dikeluarkan ini adalah sangat bahaya kerana secara terang terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap institusi Raja raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat," titah Tengku Mahkota.


Titahnya, berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, PM dilantik atas budi bicara Agong yang berperanan sebagai ketua negara.


Manakala Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa PM haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.


Menurut Tengku Mahkota, Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu tidak pernah sewenang wenangnya membuat keputusan untuk melantik PM walaupun Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.


Agong telah pun memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut bermusyawarah untuk mendapat pandangan kolektif daripada Majlis Raja Raja sebelum melantik PM.


"Parlimen juga (setelah sebulan pelantikan) telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.


"Sehubungan itu keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan peryimbangan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri," titahnya.


Justeru, Tengku Hasanal mahu pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan yang dibuat Muhyiddin.


"Saya mahu pihak PDRM mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.


"Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik selaku pemimpin rakyat, mestilah sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus menerus untuk sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya dan rakyatnya bahagia," titah Tengku Hasanal lagi.


*Foto ihsan Jabatan Penerangan

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page